Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik mengumumkan malam tadi bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Presiden Gerakan kepada penggantinya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada 8 April 2007 dalam satu persidangan khas parti itu.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu berkata, beliau memilih tarikh tersebut kerana ia jatuh pada ulangtahun hari jadinya.

Beliau mengumum pengumuman itu di majlis jamuan malam untuk perwakilan persidangan kebangsan Gerakan di Kuala Lumpur malam tadi, selepas 25 tahun memimpin parti.

Dr Lim membuat pengumuman selepas timbul banyak spekulasi mengenai tarikh sebenar beliau akan melepaskan jawatan tersebut.

Malah, dalam ucapan 'selamat tinggal' kepada persidangan tersebut pagi semalam, beliau juga membayangkan kemungkinan mengundur diri lebih awal.

Sebelum ini, Dr Lim mengumumkan akan menyerahkan teraju kepimpinan parti itu kepada Timbalannya (Dr Koh) antara Februari dan September tahun depan.

"Hari ini, perjalanan ini hampir tiba ke penghujungnya dan saya harap dapat menyerahkan tugas ini kepada pengganti saya menjelang awal tahun depan," kata Lim.

Ucapan beliau di persidangan perwakilan kebangsaan Gerakan ke-35 itu disiarkan secara langsung melalui Radio Television Malaysia (RTM) di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Bernama, dalam ucapannya selama lebih 40 minit, Dr Lim banyak menyentuh tentang perkembangan semasa serta cara terbaik untuk mengemudi Malaysia dan parti itu dalam menuju masa depan.

Dr Lim turut memberi penekanan tentang peri pentingnya memelihara semangat kerjasama dalam Barisan Nasional dan di kalangan pemimpin politik, yang beliau sifatkan sebagai satu proses pembelajaran di mana, yang tua dan yang muda, dapat mempelajari dari satu sama lain.

Gaya kepimpinan

Dr Lim menyifatkan dirinya bernasib kerana berpeluang bekerja dengan ramai pemimpin hebat dari Barisan Nasional Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, mereka mengamalkan gaya kepimpinan yang berbeza, memberi fokus terhadap keutamaan yang berlainan serta membuat keputusan tidak serupa, sesuai dengan zaman dan cabaran yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan mereka.

"Gaya mereka mungkin berbeza, tapi matlamat tetap sama. Yang pasti, negara ini telah mendapat manfaat daripada kebolehan dan sikap mereka yang fleksibel," katanya.

Katanya, begitu jugalah dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengamalkan pendekatan kepimipinan tersendiri dalam bentuk "bekerjalah bersama saya dan bukan untuk saya".

Melalui pegangan itu, katanya, Abdullah telah mempamerkan semangat waja dalam setiap keputusannya bagi membendung rasuah serta mewujudkan keseimbangan antara usaha mengejar kemajuan material dan memberi penekanan terhadap nilai-nilai murni kemanusiaan serta keagamaan.

Dr Lim berkata berikutan kenaikan harga bahan bakar dan peningkatan tekanan inflasi serta kadar faedah, Malaysia tidak boleh sekali-kali berpuashati dengan melakukan perkara dan mengulangi pendekatan yang sama, tetapi perlu segera mencari kelebihan lain serta bidang pertumbuhan baru.

"Negara perlu bersedia melaksanakan pendekatan dan idea baru. Ringkasnya, kita perlu berfikiran lebih luas serta bersifat lebih kreatif dalam mengatur semula ekonomi kita bagi mengelak pertembungan secara langsung dengan ekonomi sedang muncul," katanya.