Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Kheng Yaik mendedahkan beberapa kelemahan dalam sistem pelajaran negara yang menurutnya perlu diperbetulkan segera.

Menurutnya, masih ada sekolah di bandar dan luar bandar yang tidak memiliki kemudahan asas yang lengkap, manakala sekolah Cina di luar bandar pula terlalu sesak dengan murid.

Menurut laporan Bernama, beliau juga melahirkan kebimbangan tentang jumlah siswazah menganggur yang semakin bertambah kerana katanya ia boleh mencetuskan sikap tidak puas anggota masyarakat.

Selain itu, katanya, ketidakserasian antara kurikulum universiti dan keperluan majikan juga perlu segera ditangani.

Tegasnya, ini kerana kebanyakan syarikat memilih siswazah yang berkemahiran serta memiliki asas dalam bidang teknikal serta kemahiran untuk berkomunikasi.

Ucapan beliau di persidangan perwakilan kebangsaan Gerakan ke-35 itu disiarkan secara langsung melalui Radio Television Malaysia (RTM) di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Lim juga menasihati pemimpin Gerakan sekarang dan pada masa depan supaya sanggup membuat keputusan tegas serta mengambil tindakan tidak popular agar ia selari dengan realiti baru politik.

Proaktif dan responsif

Beliau juga menyarankan kepada Gerakan supaya melakukan perubahan untuk menjadi parti yang lebih proaktif serta responsif terhadap keperluan Malaysia moden.

Dr Lim juga memberi peringatan kepada pemimpin dan anggota Gerakan bahawa sekiranya mereka tidak berhati-hati, sikap oportunis akan melanda parti itu.

"Ahli yang bersikap oportunis akan hanya menunggu kepentingan peribadi mereka dipenuhi dan tidak akan memenuhi kepentingan masyarakat.

"Dalam politik, seseorang itu perlu berkhidmat dan memberi balik kepada negara apa yang telah diambilnya. Hanya pemimpin yang baik mampu mengenal pasti antara oportunis dan anggota sebenar," katanya.

Pemimpin yang baik bertanggungjawab terhadap kebajikan kumpulan, bukan kebajikan individu tertentu saja.

"Pemimpin yang baik bukan yang mampu menawan hati orang ramai atau seorang populis," tambahnya.