Prof Dr Shamsul Amri pertahan tulisannya
Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin penulis artikel bertajuk 'Ketuanan Politik Melayu lawan Ketuanan Ekonomi Cina' yang disiarkan oleh majalah Dewan Masyarakat keluaran Ogos mempertahankan tulisannya itu walaupun ia dibantah oleh sesetengah pihak yang mempertikaikan ketepatannya.
Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin penulis artikel bertajuk 'Ketuanan Politik Melayu lawan Ketuanan Ekonomi Cina' yang disiarkan oleh majalah Dewan Masyarakat keluaran Ogos mempertahankan tulisannya itu walaupun ia dibantah oleh sesetengah pihak yang mempertikaikan ketepatannya.
Sebaliknya, Dr Shamsul dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendakwa mereka yang mengkritiknya itu tidak membaca keseluruhan artikelnya itu.
Beliau yang dihubungi malaysiakini berkata beliau sudah lali dengan latahan orang-orang politik.
"Mereka mendakwa artikel saya ini membangkit isu-isu 'sensitif'. Hanya kerana beberapa pemimpin MCA tidak bersetuju, tidak bermakna ianya sensitif. Apa yang dikatakan sensitif itu patut dihakimi berdasarkan Akta Hasutan 1970 sama ada ianya benar-benar sensitif atau tidak," tambahnya.
Katanya, perkara yang dibangkitkan dalam artikel tersebut dengan jelas menyatakan bahawa ia berdasarkan kepada sebuah forum yang diadakan pada 31 Mac mengenai dominasi politik orang Melayu dan salah seorang penceramahnya ialah Dr Thock Ker Pong.
Jelasnya, data dalam artikelnya itu bersumberkan Dr Thock, yang telah menulis tesis PhD yang bertajuk 'Dominasi Politik Melayu: Pandangan Masyarakat Cina'.
Ini termasuklah perenggan yang dipertikaikan itu yang menyatakan bahawa masyarakat Cina menguasai 60 peratus ekonomi negara. Fakta tersebut dipertikaikan oleh MCA dan DAP.
Kebebasan akademik
Shamsul adalah antara penulis yang menyumbang tulisan kepada Dewan Bahasa keluaran bulan Ogos itu, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dengan fokus kepada dominasi politik Melayu.
(DBP adalah badan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap perkembangan dan penggunaan Bahasa Melayu).
Beliau juga menyifatkan 'reaksi keterlaluan' seumpama itu boleh memberi kesan yang tidak baik terhadap kebebasan akademik dan perkembangan intelektual.
Dalam artikelnya itu, Dr Shamsul melihat dominasi politik Melayu berdasarkan jumlah mereka, dengan dominasi ekonomi kaum Cina berdasarkan pemilikan mereka dalam kekayaan negara, dan membandingkannya dengan penguasaan ekonomi kaum Cina di Indonesia yang hanya merupakan lima peratus penduduk republik itu.
Dr Shamsul juga kesal kerana kurangnya kajian sebenar yang dijalankan terhadap dominasi ekonomi kaum Cina berbanding dengan terlalu banyaknya bahan bacaan mengenai politik Melayu.
Antara masalah dalam membincangkan dominasi ekonomi kaum Cina ialah kegagalan untuk mengiktiraf kepelbagaian suasana ekonomi dalam masyarakat berkenaan, kata Shamsul dalam artikel itu, sebagaimana wujudnya perbezaan antara masyarakat Melayu dari segi pengaruh politik mereka. Berita asal

