PM minta parti komponen BN bersatu, ketepi masalah sesama mereka
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu terus bersatu padu walaupun kadang-kadang masalah timbul dalam hubungan sesama mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu terus bersatu padu walaupun kadang-kadang masalah timbul dalam hubungan sesama mereka.
"Tetapi yang penting kita mesti tunjuk kita bersatu padu dan setia kepada rakyat, raja dan negara," katanya semasa merasmikan persidangan perwakilan kebangsaan ke-35 Gerakan di Kuala Lumpur hari ini.
Sambil menegaskan bahawa parti politik perlu memberi kepimpinan terbaik kepada rakyat, Abdullah yang juga pengerusi BN berkata ini kerana rakyat memerlukan kestabilan politik dan adalah menjadi tugas dan tanggungjawab parti politik untuk memeliharanya.
"Tanpa kestabilan politik, ia biasanya menjadi punca kepada kehilangn sentimen pelaburan dan masalah kepada usaha menjayakan pembangunan bangsa dan negara," katanya.
Tegasnya, parti politik juga bertanggungjawab untuk memastikan negara tetap aman dan selamat sementara rancangan pembangunan ekonomi dan sosial untuk rakyat berjalan dengan baik dan teratur serta mencapai matlamatnya.
Menurut laporan Bernama, sehubungan itu, beliau berharap parti Gerakan akan terus menjadi kuat dan teguh di bawah kepimpinan baru nanti.
Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang juga Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi telah menyatakan hasratnya untuk berundur daripada menerajui parti itu awal tahun depan setelah memimpinnya selama 26 tahun.
Pak Lah sedih
"Ini harapan saya, saya sebenarnya suka melihat semua parti komponen BN berada dalam keadaan teguh dan kuat yang boleh menyumbang kepada kejayaan BN," kata Abdullah.
Mengenai Lim, Perdana Menteri berkata beliau merasa sedih bahawa Lim akan berundur daripada politik.
"Saya kenal beliau lama semasa menjadi pegawai kerajaan dulu. Saya mengingati dia sebagai anak muda yang pemarah...yang dia perlu tanggung akibatnya. Tetapi saya tahu apabila tiba untuk beliau bercakap, Datuk Seri Lim Keng Yaik sentiasa berterus terang.
"Dia cakap apa yang nak keluar dari hatinya, kadang-kadang dia mencarut pun ada juga. Itu dah terlajak kerana terlalu bersemangat. Siapa yang tak kenal Keng Yaik," katanya disambut gelak para perwakilan dan hadirin.
Namun, kata Abdullah, Lim seorang pemimpin parti yang menghargai BN.
"Apabila sesuatu keputusan hendak dibuat, beliau selalu memihak kepada soal menjaga kepentingan kerajaan BN dan rakyat.
"Terima kasih Keng Yaik atas segala kerjasama yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan saudara dalam BN," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.