Menteri Luar Negeri Hishamuddin Hussein kini dalam lawatan kerja ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan Hishammuddin akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya malam ini.

Bagaimanapun, kementerian tidak memberikan maklumat lanjut mengedai pertemuan itu serta isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kedua-dua negara.

Ia ketika pertikaian berkaitan skandal 1MDB melibatkan syarikat milik Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC), belum selesai.

Pada Oktober 2018, kerajaan PH mencabar anugerah persetujuan yang direkodkan tribunal timbang tara, yang menyatakan Malaysia perlu membayar AS$ 5.78 bilion (RM23.5 bilion) kepada IPIC dan pemegang amanah bon dalam tempoh lima tahun.

Penyelesaian pada 2017 itu didakwa dibuat dengan kebenaran perdana menteri ketika itu, Najib Razak untuk menutup penipuan dalam 1MDB yang melibatkan pegawai Malaysia dan juga UAE.

Setelah Najib kalah dalam PRU 2018, PH menegaskan persetujuan itu dicapai menerusi penipuan. Permohonan mencabar pereutjuan itu difailkan di United Kingdom.

Pentadbiran PH bagaimanapun tumbang pada Februari tahun lalu dan digantikan dengan Perikatan Nasional (PN).

Pada Ogos tahun lepas, pentadbiran PN dilaporkan sedang meneroka penyelesaian di luar mahkamah.

Baru-baru ini didedahkan bahawa UAE sejak dari awal - sebelum kejatuhan pentabdiran PH - telah melobi agar tindakan undang-undang yang difailkan Malaysia digugurkan.

Namun, bekas Peguam Negara Tommy Thomas berkata kata sepakat tidak dapat dicapai kerana jurang antara UAE dan Malaysia "amat besar".

Kementerian Luar Negeri berkata kunjungan Hishammuddin ke Abu Dhabi atas undangan Sheikh Abdullah Zayed Sultan Al Nahyan, yang juga menteri luar negeri dan kerjasama antarabangsa UAE.

Menurut kementerian, lawatan itu dilakukan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Kunjungan Hishammuddin ke UAE menyusuli lawatan khas enam hari oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada bulan Disember tahun lalu.