Dr M: Demokrasi dalam Umno sudah mati
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa demokrasi dalam Umno sudah mati dan ia ditadbir secara kuku besi.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa demokrasi dalam Umno sudah mati dan ia ditadbir secara kuku besi.
Beliau mendakwa, mereka menggunakan kuasa kerajaan untuk menyekat orang lain (ahli Umno) daripada bercakap dan bertemu dengan orang lain (ahli Umno) yang lain.
Katanya, mereka menyalahgunakan kuasa semata-mata untuk mengekalkan kuasa yang ada pada mereka.
"Dalam Umno sudah tidak ada demokrasi...parti yang tidak patuh kepada prinsip demokrasi," katanya ketika berucap dalam majlis Sanjungan Budi anjuran Umno Cawangan Kampung Padang Jual dalam bahagian Kuala Pilah, Negeri Sembilan hari ini.
Bagaimanapun, program tersebut, yang mendapat permit polis dan dihadiri kira-kira 500 ahli Umno, tidak direstui oleh Umno bahagian yang menganggapkan tidak sesuai perkembangan politik semasa.
Dr Mahathir juga mendakwa, ada sesetengah pemimpin Umno yang mahu melihat beliau ` di atas katil tunggu masa'.
Diberi pelbagai gelaran
"Mereka juga memanggil saya dengan pelbagai gelaran; ada yang panggil pemimpin tua, usang dan nyanyuk.
"Mereka juga memanggil saya dengan panggilan beruk dan iblis dan mencabar sama ada (saya) jantan atau betina.
"Di sini bukan tempat untuk menentukan jantan atau betina, ia boleh ditentukan di tempat lain," katanya disambut dengan gelak ketawa orang ramai.
Dr Mahathir berkata ia merupakan satu budaya dalam Umno yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Dahulu, katanya, ahli Umno boleh melakukan apa sahaja untuk memajukan parti dan seterusnya untuk kebaikan orang Melayu, agama Islam dan negara Malaysia.
"Tetapi kini tidak lagi kerana dihalang untuk bertemu ahli sendiri. Mereka yang berani menentang akan dipinggir dan tidak menang dalam pertandingan dalam parti dan tidak dipilih menjadi calon dalam pilihanraya," katanya.
Sekat orang lain
Menurutnya, beliau sedih kerana pemimpin Umno menggunakan kerajaan yang diberi kuasa oleh Umno untuk menyekat orang Umno yang lain.
Beliau juga mendakwa, pemimpin-pemimpin Umno hidup dalam ketakutan dan kerana itu mereka menyekat orang lain bertemu dengan ahli.
Katanya, tentu ada kesalahan yang ingin ditutup supaya ia tidak diketahui oleh orang lain.
"Pemimpin Umno juga mahu ahli-ahlinya supaya melupakan sejarah, supaya lupa khidmat dan sumbagan pemimpin yang terdahulu. Tapi kalau kita lupa sejarah kita akan sesat," katanya.
Dr Mahathir berkata, perjuangan orang Melayu tidak berjaya kerana mereka tidak mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan kaum sebangsanya.
Katanya, pahlawan Melayu seperti Tok Janggut dan Mat Kilau gagal kerana orang Melayu yang lain hanya melihat perjuangannya tanpa membantu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.