Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta syarikat berkaitan minyak dan gas Kumpulan Scomi menyerahkan laporan perniagaan mereka, terutamanya yang berkaitan dengan projek-projek kerajaan.

Katanya, tindakan itu dibuat berikutan adanya dakwaan yang mengatakan beliau telah `berbohong' semasa menjelaskan isu mengenai anaknya Kamaluddin, dalam wawancara "Bersemuka Bersama Perdana Menteri' disiarkan di TV3 pada 7 Ogos lalu.

Menurut laporan Bernama, Kamaluddin adalah pemilik saham terbesar syarikat berkenaan.

"Salah satu perkara yang saya jawab adalah berkaitan anak saya berniaga dan (selepas wawancara itu) saya telah terima surat mengatakan Pak Lah berbohong.

"Saya baca dan tengok (fakta surat), ada beberapa maklumat yang saya tidak tahu tentang maklumat itu kerana saya tidak menguruskan perniagaan anak saya. Saya tidak suruh dia (Kamaluddin) buat laporan pada saya, dia dah besar panjang," katanya.

'Sedia minta maaf'

Abdullah berkata, surat itu mendakwa Kumpulan Scomi telah memperolehi beberapa projek kerajaan dan ini bertentangan dengan penjelasan yang diberikan beliau sebelum ini bahawa sepanjang pengetahuannya Kamaluddin tidak pernah mendapat projek kerajaan.

"Saya telah minta laporan daripada Scomi, biar saya tengok. Kalau (terbukti) salah, saya tidak mahu berbohong, saya (akan) minta maaf pada semua," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Ampang hari ini.

Bagaimanapun, kata Abdullah, permohonan maaf itu hanya akan dibuat selepas beliau sendiri meneliti laporan daripada Scomi dan jika mendapati memang benar kenyataan yang dibuatnya ketika sesi wawancara itu bercanggah dengan kedudukan sebenar.

Semasa wawancara khas selama 40 minit itu, Abdullah yang ditemubual oleh Pengerusi Bernama Datuk Mohd Annuar Zaini telah menafikan bahawa Kamaluddin menerima manfaat termasuk mendapat projek kerajaan berdasarkan kedudukannya sebagai anak Perdana Menteri.

Kamaluddin juga, katanya, tidak pernah meminta apa-apa pertolongan daripada kerajaan.