Pelajar dipukul semasa hantar memo pilihanraya
Seorang pelajar lelaki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dipukul di tengkuknya oleh pegawal keselamatan yang cuba menyuraikan kumpulan pelajar yang berhimpun secara aman bagi mengiringi penghantaran memorandum kepada naib canselor, petang tadi.
Walau bagaimanapun, pelajar itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Dalam kejadian itu, beberapa wartawan akhbar turut dilarang daripada membuat liputan oleh pengawal bertugas.
Hampir 500 pelajar yang terdiri daripada pemimpin persatuan dalaman universiti menyertai kepemimpinan Persatuan Pewakilan Pelajar (PMU) universiti itu untuk menghantar 'Memorandum Menuntut Ketelusan Perjalanan Pilihanraya Kampus' kepada naib canselor Prof Datuk Anuwar Ali.
Pihak universiti kemudian membenarkan lima pemimpin pelajar iaitu terdiri daripada bekas presiden PMUKM, Mahadi Sukarno, timbalannya Azman Makmur dan Mohd Farid Mohd Khalid serta dua exco kepimpinan untu bertemu pihak pentadbiran universiti.
Memorandum itu berjaya disampaikan kepada wakil naib canselor, Zainuddin Daud yang menerimanya bagi pihak naib canselor yang berada di luar negara kini.
Memorandum setebal 30 mukasurat itu antara lain meminta pilihanraya kampus dijalankan secara telus.
Ia juga menuntut supaya pelajar Diploma Kejururawatan dibenarkan mengundi.
Malaysiakini difahamkan, ini kerana sejak pilihanraya tahun lalu pelajar jurusan itu telah tidak dibenarkan mengundi pada saat-saat akhir tanpa diberikan alasan.
'Penipuan besar'
Menurut sumber kepimpinan pelajar universiti, mereka banyak menerima panggilan telefon dan risalah yang mendakwa "akan berlaku penipuan besar" pada keputusan pilihanraya kampus itu kali ini.
"Oleh itu kami berharap proses pengendalian dan pengiraan undi pilihanraya itu dapat dibuat secara adil dan telus," katanya.
Pada pilihanraya kali ini, pihak universiti membuka lebih banyak pusat mengundi iaitu di kolej-kolej kediaman dan fakulti.
Sebelum ini, pihak universiti dilaporkan hanya membenarkan calon-calon yang bertanding mengunakan rakaman video untuk menyampaikan ceramah kempen pilihanraya mereka.
Sebanyak 33 kerusi dipertandingkan bagi pilihanraya kali ini dan enam daripadanya calon menang tanpa bertanding.
Seluruh universiti awam tempatan akan mengadakan pilihanraya kampus secara serentak Isnin ini kecuali Universiti Islam Antarabangsa, pada 29 November nanti.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.