Sheikh Muszaphar, Dr Faiz Khaleed dipilih angkasawan negara
Sheikh Muszaphar Shukor dan pakar pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kapten Dr Faiz Khaleed dipilih calon angkasawan negara bagi menjalani latihan di Rusia.
Sheikh Muszaphar Shukor dan pakar pergigian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kapten Dr Faiz Khaleed dipilih calon angkasawan negara bagi menjalani latihan di Rusia.
Pemilihan mereka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini.
Ia merupakan kemuncak persaingan pemilihan di antara empat calon sebagai angkasawan pertama negara. Kedua-duanya akan menjalani latihan angkasawan di Pusat Latihan Angkasawan Yuri Gagarin, Star City, Rusia selama 18 bulan selepas ini.
Seorang daripada dua calon akhir itu dijadual berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) September tahun depan, manakala seorang lagi sebagai calon simpanan.
Empat calon angkasawan negara yang berjaya mara ke peringkat saringan terakhir. Di samping Dr. Sheikh Muszaphar dan Dr Faiz, dua orang lagi ialah S. Vanajah, 35, dan juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS) Mohammed Faiz Kamaluddin, 34.
Latihan profesional
Sementara itu, Bernama melaporkan, angkasawan pertama negara dijadualkan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2 September tahun depan bagi menjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R&D), termasuk penyelidikan tentang kanser dan bioteknologi.
Calon yang berjaya itu akan berlepas dengan pesawat pelancar Soyuz 2 Rusia yang seterusnya akan bertemu dan bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Di situ, angkasawan negara akan berada selama enam hingga lapan hari dengan melaksanakan aktiviti penyelidikan untuk manfaat sains, teknologi dan industri Malaysia, sebelum pulang ke bumi.
Latihan profesional yang akan mereka jalani di Rusia ini akan melayakkan mereka menjadi angkasawan profesional dan membolehkan mereka menyertai program yang dianjurkan Amerika Syarikat atau negara Eropah yang lain.
Sebelum ini, pada 27 April lalu, mereka bersama dua lagi calon yang berjaya ke peringkat akhir telah berlepas ke Moscow, Rusia untuk menjalani ujian di Agensi Angkasa Rusia (RSA).
Mereka telah menjalani ujian yang meliputi tiga aspek iaitu fizikal, fisiologi dan psikologi selama tiga minggu.
Program angkasawan negara ini adalah timbal balas kerajaan Rusia-Malaysia yang membabitkan pembelian 18 jet pejuang jenis Sukhoi SU-30MKM, di mana kerajaan Rusia menawarkan tempat untuk seorang angkasawan Malaysia menyertai ekspedisi angkasawan Rusia ke ISS.

