Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, para perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu telah diarah supaya jangan mengundinya untuk menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno November ini.

Beliau mendakwa, arahan itu datangnya dari Badan Perhubungan Umno Kedah selepas menerima arahan daripada Majlis Tertinggi (MT) Umno supaya jangan memilih beliau sebagai ahli perwakilan bahagian.

Dr Mahathir mendakwa, Ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Johari Baharum juga terlibat mengarahkan perwakilan supaya tidak mengundi beliau.

Mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu akan berlangsung Sabtu ini untuk memilih perwakilan bahagian tersebut ke Kuala Lumpur.

Dr Mahathir adalah antara 17 calon yang telah mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut. Turut bertanding ialah anak beliau, Datuk Mukhriz.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau memperolehi 16 pencalonan dan akan berusaha untuk memenangi jawatan perwakilan itu walaupun ada pihak yang berusaha menghalangnya.

"Jika saya kalah, saya mungkin pergi atas jemputan sebagai bekas Presiden Umno...Saya nak dengar sendiri apa yang dibahaskan dalam perhimpunan agung Umno itu," tambahnya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Yayasan Perdana

Dr Mahathir berkata, pegawai kerajaan juga diarahkan supaya tidak memberi kerjasama kepada Yayasan Kepimpinan Perdana termasuk program-program anjuran yayasan itu.

Katanya, Yayasan Kepimpinan Perdana bukan sebuah badan politik, tetapi ia hanya terbabit dengan penyelidikan dan forum terutama, untuk pelajar universiti.

"Kerajaan tidak memberikan bantuan kewangan kepada yayasan. Kami mendapat sokongan dari sektor swasta dan universiti," katanya.

Beliau berkata, beliau juga tidak boleh berjumpa dengan badan bukan kerajaan (NGO) kerana perbuatan tersebut dianggap sebagai menentang Umno.

Selain itu, katanya, apabila beliau mempunyai program, walaupun bukan ada kaitan dengan politik, pihak tertentu akan mengangkut orang ramai ke tempat lain.

"Ini yang berlaku di Kelantan dan Johor apabila saya ke sana, ada orang yang di bawa ke tempat lain," katanya lagi.

Dr Mahathir juga mendakwa, para pemimpin Umno sangat takut kepada beliau sehingga terpaksa mengeluarkan arahan kepada parti supaya tidak membenarkan beliau bercakap kepada ahli.

Arahan parti

Sehinggakan, katanya, beliau mahu berjumpa dan bercakap dengan orang kampung pun dihalang sedangkan mereka tidak boleh berbuat apa-apa kecuali datang mendengar sahaja.

"Saya adalah bekas pemimpin Umno yang `dipariahkan' oleh parti sendiri," katanya merujuk kepada dirinya sebagai ahli Umno baru yang pertama selepas diharamkan pada 1987.

Beliau berkata, pemimpin utama Umno memberitahu bahawa mereka sayang kepada Dr Mahathir sebagai bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Dan katanya, sebagai tanda sayang, pemimpin-pemimpin itu meminta para perwakilan di bahagian Umno Kubang Pasu, supaya tidak mengundi beliau sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno.

Dr Mahathir berkata, beliau sangat serius untuk memenangi pemilihan tersebut bagi membolehkan beliau bercakap di perhimpunan agung nanti.

Ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad bahawa Umno akan membenarkan beliau bercakap di perhimpunan kelak, bekas Presiden Umno itu mendakwa, cakap Radzi sering berubah-ubah.

Katanya, sekarang setiausaha agung Umno itu berkata, beliau (Dr Mahathir) boleh bercakap di perhimpunan agung nanti, tetapi tegasnya, apabila tiba masanya nanti, mungkin ia diubah pula.

Jumpa Khalil

Dr Mahathir juga memberitahu bahawa beberapa program yang sepatutnya dihadirinya telah dibatalkan, dipercayai ekoran kritikan keras beliau terhadap kepimpinan negara.

Antaranya, kata beliau, ialah program kebudayaan anjuran Pergerakan Pemuda Umno, program anjuran Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), program anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dan ceramah perdana anjuran Umno Bahagian Padang Besar.

"Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dalam Team B lawan saya tetapi saya tidak sekat beliau. Saya sangat terkejut dengan semua ini," tambahnya.

Dalam sidang media kira-kira sejam itu, Dr Mahathir juga ditanya mengenai penggunaan orang tengah untuk menjernihkan semula hubungan beliau dengan Abdullah.

Katanya, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob datang bertemu beliau bagi membincangkan perkara tersebut tidak lama dahulu.

"Saya boleh jumpa Datuk Seri Abdullah tetapi mesti dibuat secara terbuka dan tidak ada agenda tersembunyi," katanya.

Mengenai syarikat Scomi milik anak Perdana Menteri, Dr Mahathir berkata, syarikat tersebut mendapat banyak projek atau kontrak kerajaan, termasuk membina dan membekal badan bas dan gerabak keretapi.

Bagaimanapun, katanya anak-anaknya tidak pernah membuat bisnes dengan kerajaan.

Ketika ditanya mengenai orang Melayu yang jauh ketinggalan di Pulau Pinang kerana kegagalan kerajaan pimpinannya dahulu, Dr Mahathir berkata, "lihatlah apa yang Pak Lah buat dalam tempoh dua tahun setengah ini".

"Dia sangat berkuasa sekarang," katanya lagi.