Kit Siang jadi sasaran berhubung artikel gesa Pak Lah berundur
Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menjadi sasaran di Dewan Rakyat hari ini kerana membangkitkan sebuah artikel yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengundurkan diri.
Ketua Pembangkang Lim Kit Siang menjadi sasaran di Dewan Rakyat hari ini kerana membangkitkan sebuah artikel yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengundurkan diri.
Ketika membahaskan Bajet 2007, Ketua Pembangkang itu memetik sebuah artikel tulisan M Bakri Musa, seorang doktor bedah rakyat Malaysia yang menetap di Amerika yang bertajuk 'Undurlah Pak Lah'.
Lim yang Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau menerima artikel tersebut, yang disiarkan dalam
Blog Bakri,
melalui emel semalam. Bakri juga merupakan kolumnis
malaysiakini
.
Memetik artikel tersebut, Lim berkata Bakri menyifatkan langkah mengundur diri itu sebagai "satu keputusan yang betul, pada masa yang betul dan untuk alasan yang betul."
Menurut penulis itu, ia merupakan masa yang paling sesuai bagi Abdullah untuk mengundurkan diri supaya Umno boleh memilih pemimpin baru di perhimpunan agung parti itu November ini.
Menurut Lim, pandangan Bakri mungkin boleh diterima oleh kalangan rakyat.
Katanya, beliau tidak berniat untuk mengulas gesaan Bakri supaya Abdullah mengundurkan diri, tetapi menegaskan bahawa tema tulisan Bakri bahawa Abdullah tidak memberi kepimpinan, selari dengan pandangan di kalangan rakyat.
Malah, katanya, semakin ramai rakyat Malaysia yang tertanya-tanya siapakah Perdana Menteri Malaysia dan sama ada Malaysia ada Perdana Menteri, begitu juga dengan soalan sama ada terdapat Menteri Kewangan atau Menteri Keselamatan Dalam Negeri memandangkan keadaan jenayah di negara ini.
Abdullah juga memegang jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Ada yang lebih baik?
Kenyataan Lim itu terus mencetuskan kemarahan ahli-ahli Parlimen Barisan yang bangun mempertahankan Perdana Menteri.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bertanya kepada Lim mengapa beliau membangkit artikel tulisan seorang penulis yang tinggal di luar Malaysia untuk mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri.
Datuk Zaid Ibrahim (BN-Kota Baru) turut menegur Ketua Pembangkang kerana 'menjadi jurucakap' Bakri.
Beliau bertanya sama ada ada anggota kabinet yang lebih baik daripada Perdana Menteri untuk mentadbir negara, sambil menambah isu Abdullah mengundur diri menjadi bahan perbincangan meluas di internet dan tidak perlulah ia dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Seorang lagi penyokong kerajaan Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) menyifatkan Bakri sebagai seorang yang bacul kerana tinggal di Amerika dan dari sana, menulis perkara yang tidak baik mengenai Malaysia.
Lim bagaimanapun berkata, beliau bukan menjadi jurucakap Bakri dan mereka berdua tidak pernah bertemu. Malah, katanya, beliau tidak meminta Perdana Menteri mengundur diri, tetapi hanya memetik kandungan artikel tersebut.
Sehubungan itu, pemimpin politik veterean itu menegaskan wujud keperluan untuk mengkaji mengapa gesaan seumpama itu dibuat.
Sementara itu, Bung berkata walaupun beliau tidak menafikan hak Bakri untuk menyuara pandangannya, tetapi beliau tertanya-tanya mengapa Lim memilih artikel tersebut dan bukannya beribu-ribu lagi artikel yang memuji kepimpinan Abdullah.
Memerangi rasuah
Lim kemudiannya menyentuh tentang sejarah di mana 37 tahun yang lalu, Dr Mahathir Mohamad telah menulis surat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman dan surat itu, menurutnya, telah merubah negara ini.
Jelasnya, satu-satunya sebab beliau membangkitkan perkara itu adalah untuk mengingatkan Perdana Menteri tentang janji-janjinya sewaktu pilihanraya umum.
Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) mencelah dan berkata: "Kita mengamalkan sistem demokrasi, semuanya diputuskan oleh rakyat sewaktu pilihanraya umum. Jangan bazirkan masa, bentangkan bajet pembangkang."
Lim mengulangi bahawa beliau tidak mempunyai sebarang motif tersembunyi dalam membangkitkan artikel tersebut, tetapi menegaskan bahawa kempen anti-rasuah yang dilancarkan Perdana Menteri telah membiarkan "ikan jerung terlepas ke Lautan China Selatan".
Bung Mokhtar mempertahankan usaha Abdullah memerangi rasuah dan menegaskan bahawa Perdana Menteri telah mewujudkan Institut Integriti Malaysia dan melaksanakan plan integriti nasional.
Lim menjawab, jika ada ahli Parlimen yang tidak boleh menerima apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir bahawa rasuah semakin teruk, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, katanya juga telah membuat kenyataan yang sama di Dewan Rakyat bahawa rasuah semakin serius sekarang.
Ketua Pembangkang itu juga menggesa supaya ditubuhkan sebuah mahkamah kas untuk membicarakan kes rasuah.
Perbahasan mengenai Bajet 2007 akan disambung esok. Ahli Parlimen diperuntukkan lapan hari untuk membahaskannya dan diikuti empat hari penggulungan oleh pihak menteri. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.