Kongres Nasional ke-3 Parti Keadilan Nasional (PKR) berakhir dengan keazaman tinggi untuk mencatatkan kemenangan dalam pilihanraya umum akan datang, yang dijangka diadakan lebih awal, menjelang Oktober tahun depan.

Para perwakilan dan pemerhati yang lebih 2,000 orang menghadiri kongres tiga hari itu pulang dengan suntikan dan semangat baru yang dibekalkan oleh Penasihat mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sepanjang kongres tersebut, baik di sayap Wanita atau Angkatan Mudanya, topik utama yang dibincangkan ialah pilihanraya umum ke-12. Jelas sekali perhimpunan ini menjadi medan untuk mencanai perpaduan dan gerak kerja ke arah pilihanraya umum yang dilihat sebagai peluang terbaik PKR bagi menebus kekecewaan dalam pilihanraya ke-11 lalu.

Para perwakilan dan pemerhati yang lebih 2,000 orang menghadiri kongres tiga hari itu pulang dengan suntikan dan semangat baru yang dibekalkan oleh Penasihat mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kembalinya Anwar ke pesada politik negara selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 2004 dan kejayaan PKR memecah monopoli Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya negeri Sarawak, memberi harapan baru kepada parti yang diterajui oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu.

Berlakunya krisis antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menambahkan lagi keyakinan para pemimpin dan ahli parti itu untuk mencatatkan kejayaan lebih baik kali ini.

Menjana kemenangan

Dr Wan Azizah sendirinya di dalam ucapan dasarnya tanpa berselindung menegaskan lanskap politik negara akan berubah selepas pilihanraya ke-12 nanti.

Malah keyakinan beliau itu turut dialas dengan faktor ketiadaan proses pensempadanan semula kawasan pilihanraya kali ini, yang akan menghadkan peluang BN mengeksploitasi demografi pengundi bagi meraih kemenangan besar seperti pilihanraya umum 2004..

Keyakinan para pemimpin PKR itu turut dikongsi oleh para perwakilan yang begitu fokus dalam perbahasan mereka. Isu-isu yang dibahaskan tidak banyak melencong. Perbahasan tertumpu pada agenda perjuangan parti menegakkan keadilan untuk semua kaum, mengagihkan kek ekonomi secara saksama dan menentang rasuah.

Isu-isu luaran terutamanya krisis antara Dr Mahathir dengan Abdullah hanya disentuh sepintas lalu oleh para perwakilan, sebagai bahan sendaan, walaupun Timbalan Presiden mereka, Dr Syed Husin Ali mengulas agak panjang pergeseran antara kedua-dua tokoh Umno itu di dalam ucapan perasmian kongres Angkatan Muda dan Wanita pada hari Jumaat.

Para perwakilan turut menyentuh tentang kelemahan dalaman parti serta menegur pucuk pimpinan terutama ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang kurang turun padang.

Mereka mengingatkan ahli MPT jangan menganggap diri mereka sebagai "elitis" hingga tidak dikenali oleh ahli-ahli di akar umbi.

Fokus kongres kali ini ialah pilihanraya umum ke-12. Persiapan yang agak rapi telah disusun untuk menghadapi "pesta demokrasi" yang dianggap sebagai tidak demokratik oleh ahli-ali PKR itu.

Biro politik parti itu telah menyediakan satu sistem pemantauan pengundi berkomputer atau "Sismep 12" yang diharap dapat membantu parti-parti pembangkang menangani masalah pengundi hantu.

Laporan komprehensif penyelewengan pilihanraya umum ke-11 yang lalu turut dibuat dan akan diedarkan kepada pejabat-pejabat kedutaan asing dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan luar negara bagi menekan kerajaan menerima cadangan membawa masuk pemerhati antarabangsa dalam pilihanraya ke-12 nanti.

Salah satu perkembangan penting yang disaksikan dalam kongres kali ini ialah kehadiran lebih ramai perwakilan dan pemerhati dari kaum Cina dan India.

Cina dan India

Kehadiran mereka makin dirasai dan bukanlah suatu yang keterlaluan kalau disimpulkan keahlian orang bukan Melayu dalam PKR lebih ramai dari anggota bukan Cina dalam parti Gerakan.

Suasana antara kaum nampak begitu harmoni, tiada yang terpinggir, mereka bukan sekadar datang mendengar ucapan malah turut menyertai perbahasan.

Beberapa nama seperti wakil rakyat Padungan di Sarawak, Dominic Ng dan Datuk KS Nallakaruppan sering menjadi sebutan dalam dewan besar Hotel Equatorial itu.

Di samping itu kemunculan tokoh korporat, Tan Seri Khalid Ibrahim (foto kanan) dalam saf kepimpinan PKR turut menyuntik tenaga baru dalam parti itu.

Beliau nampaknya mempunyai peranan dan tugas besar dalam PKR terutamanya bagi merangka rancangan ekonomi Barisan Alternatif sebagai pilihan kepada Misi Nasional yang dipelopori oleh Abdullah.

Kongres PKR kali ini juga melakukan satu perubahan apabila menjemput wakil pelajar IPTA dan NGO naik ke pentasnya. Keberanian wakil pelajar dan tokoh-tokoh NGO ini menunjukkan sokongan senyap untuk parti ini masih besar.

Secara umumnya nada kongres PKR kali ini lebih berkeyakinan. Kejayaan memenangi satu kerusi dalam pilihanraya negeri Sarawak ternyata menjadi inspirasi untuk meraih kejayaan seterusnya. Kemasukan ribuan orang Kadazan, Dusun dan Melayu Sabah ke dalam parti kebelakangan ini menjadikan Sabah negeri barisan depan parti tersebut.

Malah Anwar dalam ucapannya di akhir kongres itu menyatakan, bukan ribuan malah puluhan ribu rakyat Sabah akan menyertai PKR dalam tempoh terdekat ini.

Namun begitu dalam keghairahan merangka gerakkerja menjana kemenangan itu, ahli-ahli PKR tetap diingatkan bahawa kejayaan tidak akan datang menggolek.

Mereka diingatkan supaya berkerja keras, komited dan berani. Mereka diingatkan bahawa semua perancangan pemimpin di peringkat pusat tidak akan membawa apa-apa makna jika tidak diterjemahkan dalam satu gerak kerja yang berkesan di bahagian masing-masing.

Anwar juga telah dan sedang memainkan peranannya untuk menggembeling semua tenaga yang pernah ada dalam PKR sebelum ini. Beberapa orang pemimpin lama PKR yang "merajuk" seperti Saifuddin Nasution dan Abdul Rahman Osman telah dibawa kembali ke dalam parti.

Menurut Anwar, semua pejuang reformasi perlu kembali merapatkan barisan, perlu lupakan sebarang masalah kerana sekarang adalah masa untuk "berperang".

Ahli-ahli PKR diingat supaya menyedari realiti cabaran besar menunggu mereka, bukan mudah untuk menumbangkan sebuah kerajaan yang telah bertahan selama 49 tahun.

Banyak yang perlu dilakukan oleh pucuk pimpinan dan ahli PKR jika mereka mahu melihat cita-cita menobatkan Penasihat mereka sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 menjadi kenyataan.

Laungan dan jeritan reformasi sahaja tidak mencukupi. Banyak kelemahan dalaman perlu diatasi di samping membuktikan Anwar mempunyai barisan kabinet alternatif yang boleh diletakkan harapan untuk meneraju negara ini.

Bak kata Naib Presiden parti itu, Azmin Ali, seorang Anwar Ibrahim tidak mungkin membawa kejayaan kepada parti itu.

" Semua ahli PKR mesti menjadi Anwar Ibrahim di kawasan masing-masing...."