Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM harap TV Pendidikan bantu tangani masalah pembelajaran dalam talian
Diterbitkan:  Feb 17, 2021 10:29 AM
Dikemaskini: 2:29 AM

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berharap saluran TV Pendidikan yang akan mula bersiaran hari ini akan dapat membantu murid yang tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam talian sepenuhnya, akibat tiada akses internet atau peranti yang sesuai.

Muhyiddin berkata, kerajaan sedar murid terdiri daripada pelbagai latar belakang dan sebahagiannya tidak dapat mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), yang diperkenalkan susulan penularan wabak Covid-19.

"Oleh yang demikian, kita perlu terima hakikat bahawa pelaksanaan PdPR secara dalam talian masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh yang singkat.

"Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh murid, guru dan ibu bapa dalam situasi sukar ini.

"Sebagai salah satu inisiatif dalam mempelbagaikan sumber pembelajaran serta bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan slot program TV Pendidikan secara terestrial," katanya dalam ucapan pelancaran saluran itu hari ini.

PdPR dilaksanakan susulan penutupan sekolah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, terdapat banyak pihak seperti guru dan ibu bapa yang meluahkan kesukaran mengikuti pembelajaran atas pelbagai sebab, antaranya ketiadaan atau kekurangan akses internet dan peranti seperti tablet.

Sejumlah tokoh masyarakat dan ahli politik juga menjalankan usaha untuk mengumpul bagi menyediakan laptop dan data internet kepada pelajar yang memerlukan.

Mulai hari ini, TV Pendidikan akan disiarkan di TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV@NTV7.

Muhyiddin menyuarakan keyakinannya bahawa DidikTV, yang bersiaran bermula jam tujuh pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, akan dapat membantu pelaksanaan PdPR, khususnya untuk murid yang tiada akses untuk pembelajaran dalam talian.

"Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak.

"Ini merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara," katanya lagi.

DidikTV adalah usaha sama antara pemiliknya, Media Prima dengan KPM. Usaha sama ini menyaksikan NTV7 dijadikan saluran untuk pendidikan secara sepenuhnya.

Sebelum ini, DidikTV hanyalah satu program yang disiarkan di beberapa saluran, seperti TV Okey, RTM, Astro dan NTV7.

"DidikTV KPM akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM. Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.

"Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan," kata Muhyiddin.

Lihat Komen
ADS