Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah arah Rosmah bela diri kes rasuah projek solar

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor diarah membela diri atas tuduhan penyelewengan dana bagi projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie bagi ketiga-tiga kes tersebut.

"Pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh ke atas ketiga-tiga pertuduhan."

"Dengan ini saya memanggil tertuduh untuk membela diri," kata Zaini.

Perbicaraan terhadap Rosmah, 69 melibatkan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Perbicaraan yang bermula sejak 5 Feb 2020 itu mengemukakan 23 saksi sepanjang 33 hari sesi perbicaraan.

Terdahulu, Rosmah hadir di mahkamah pada pukul 9.20 pagi bersama suaminya.

Dia yang memakai baju kurung berwarna kuning dan bertudung kelihatan tenang sejurus hakim mengarahkan untuk membela diri.

Rosmah diwakili barisan peguam diketuai Jagjit Singh, sementara bekas hakim mahkamah tinggi Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.

Beri kenyataan dari kandang saksi

Sementara itu, Rosmah memilih untuk memberi keterangan dari kandang saksi secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang menyoal semasa pemeriksaan balas.

"Saya memilih memberi keterangan dari tempat saksi," katanya ketika jurubahasa membaca tiga pilihan kepadanya ketika membela diri.

Pilihan lain adalah berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan dan memberikan keterangan di kandang tertuduh tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Hakim juga menetapkan sembilan hari untuk Rosmah dibicarakan.

"Mahkamah menetapkan 9,10,15,16, 22 dan 23 Jun dan 12 dan 15 Julai untuk perbicaraan," kata Zaini.

Rakaman audio jadi bahan bukti

Dalam pada itu, Zaini juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan memasukkan audio rakaman "darling can i advise you something" yang merupakan rakaman perbualan Najib dan Rosmah berserta transkrip sebagai bukti keterangan.

Ini selepas hakim pada 11 Disember memutuskan bahawa rakaman audio dan transkip yang didakwa mengandungi perbualan di antara Najib dan Rosmah tidak akan dimasukkan sebagai bahan bukti keterangan.

Untuk rekod, pihak pendakwaan selesai menggulung penghujahan pada 11 Disember.

Pada hari pihak pendakwaan menggulung hujah mereka, Sri Ram menawarkan seramai 10 saksi kepada pihak pembelaan.

Najib merupakan salah seorang daripada 10 saksi yang ditawarkan.

Jika didapati bersalah, Rosmah berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda daripada nilai suapan.

Dalam pertuduhan pertama, dia dituduh secara tidak jujur meminta suapan bagi dirinya sebanyak RM187,500,000, iaitu 15 peratus daripada nilai kontrak projek solar itu daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Dia dituduh membuat kesalahan itu melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah dituduh secara tidak jujur, menerima RM1,500,000 untuk dirinya dari Saidi atas tujuan sama di ‪No. 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ Duta‬ pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas dakwaan menerima suapan RM5 juta dari Saidi melalui Rizal untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

ADS