Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Makin ramai MP desak parlimen bersidang
Diterbitkan:  Feb 18, 2021 10:16 AM
Dikemaskini: 2:43 AM

Semakin ramai anggota parlimen mendesak parlimen bersidang berikutan pelbagai sektor telah dibuka bagi melonggarkan sekatan akibat wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, jawatankuasa dwi-parti yang menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat perlu memberitahu kerajaan bahawa darurat tidak menghalang sidang parlimen khas diadakan.

Dia berkata, walaupun parlimen ditangguhkan, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa perlu) 2021 membenarkan Yang di-Pertuan Agong mengadakan mesyuarat khas sebagaimana yang difikirkannya sesuai.

Katanya, parlimen perlu memastikan kebertanggungjawaban selepas sejumlah peruntukan dibelanjakan untuk memerangi wabak Covid-19 dan program imunisasi terbesar akan dijalankan dalam sejarah negara.

"Tidak ada sebarang sebab mengapa negara kita perlu menghalang Parlimen daripada menjalankan fungsinya untuk menyemak imbang tindakan pihak eksekutif dan memastikan terdapat pendekatan dan strategi yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak Covid-19. 

"Banyak negara lain, termasuklah negara-negara yang mempunyai jumlah jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi, tidak menggantung fungsi Parlimen mereka," katanya.

Sementara itu, anggota parlimen Selayang William Leong meminta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), yang membolehkan penggantungan parlimen, ditarik balik.

"Saya meminta perdana menteri dan kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik Seksyen 14 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) agar tidak mengganggu perjalanan demokrasi berperlembagaan yang asas.

"Menggunakan darurat kesihatan awam untuk membenarkan penangguhan pentadbiran yang demokratik bukanlah tindak balas kerajaan demokratik. Ini adalah ciri khas pemerintahan diktator," kata ahli parlimen PKR itu dalam satu kenyataan berasingan.

Semalam, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, yang merupakan ahli parlimen Pengerang (Umno), menulis surat kepada Peguam Negara, Idris Harun bagi menyatakan cabang legislatif telah lumpuh akibat keputusan eksekutif menggantung Parlimen.

Gesaan itu juga mendapat sokongan 90 anggota parlimen di rantau Asean yang menandatangani rayuan agar parlimen Malaysia kembali dibuka.

Bekas dan ahli parlimen yang menandatangai rayuan berkenaan adalah dari Thailand, Indonesia, Timor-Leste, Kemboja, Filipina, Singapura, dan Myanmar. 

Bagaimanapun, Ketua Pemuda PAS, Khairul Nizam Khirudin berkata kesemua ahli parlimen tersebut adalah daripada ahli parlimen di peringkat pembangkang negara masing-masing dan tidak semuanya mewakili negara Asean.

"Tambahan, antara yang mendesak ini pula sudah tidak lagi bergelar Ahli Parlimen negara mereka.

"Pemuda PAS tidak mahu berbicara panjang berkenaan siapakah mereka ini, tetapi adakah desakan ini datangnya daripada tangan-tangan kotor ahli parlimen negara kita sendiri seolah mengadu domba dan membawa imej buruk negara kepada dunia luar?

"Adakah ahli parlimen negara ini mahu mencucuh keberantakkan dan kekacauan negara sehingga ‘menghimpunkan’ orang luar untuk meraih simpati politik yang sangat keji sikapnya?!"soalnya.

Lihat Komen
ADS