Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LANGSUNG: Jumlah denda yang besar sangat mengecewakan, kata Gan

LANGSUNG | Mahkamah Persekutuan pagi ini akan menyampaikan keputusan berhubung permohonan menghina mahkamah terhadap Malaysiakini melalui komen pembacanya.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung prosiding tersebut.


11.25 pagi: Dalam kenyataannya selepas hukuman dijatuhkan, Gan berkata Malaysiakini sangat kecewa dengan keputusan itu.

"Keputusan ini berlaku dalam menghadapi landskap media baru yang cepat berubah di negara ini.

"Ini akan memberi kesan dalam mengutarakan isu-isu kepentingan awam dan ini memberi tamparan hebat kepada kempen berterusan kami yang antara lain untuk memerangi rasuah," katanya.

Dia berkata dalam keadaan di mana setiap orang mempunyai telefon bimbit dan akaun media sosial adalah penting bagi kita untuk menerangkan dan mendidik mereka.

"Saya rasa keputusan yang dibuat terhadap kami dan denda besar yang telah dijatuhkan terhadap kami mungkin merupakan usaha untuk tidak hanya menghukum kami tetapi menutup kami.

"Saya sangat kecewa. Jenayah apa yang dilakukan oleh Malaysiakini sehingga kami terpaksa membayar RM500,000 apabila ada individu yang dituduh menyalahgunakan kuasa berjuta-juta dan berbilion masih bebas?"


Malaysiakini didenda RM500,000 kerana menghina mahkamah atas komen pembaca.

11.08 pagi: Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman berkenaan semasa prosiding hari ini.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf  berkata Malaysiakini mesti membayar denda dalam masa tiga hari dari Isnin minggu depan.

Pejabat Peguam Negara sebelum ini memohon denda ditetapkan sebanyak RM200,000, manakala pasukan peguam Malaysiakini meminta denda maksimum RM30,000.

Rohana berkata mahkamah mempunyai kewajipan untuk memandang serius tindakan menghina mahkamah yang akhirnya merosakkan sistem keadilan di Malaysia.


Prosiding mahkamah bersambung semula

11.05 pagi: Prosiding Mahkamah Persekutuan bersambung semula selepas berhenti rehat bagi menetapkan denda terhadap Malaysiakini.


Mahkamah berhenti rehat sebelum putuskan denda terhadap Malaysiakini

10.22 pagi: Mahkamah Persekutuan berehat seketika bagi mempertimbangkan denda yang akan dikenakan terhadap Malaysiakini.


AGC mahu Mkini didenda RM200k, peguam mohon denda maksimum RM30k

10.20 pagi: Peguam kanan persekutuan Suzana Atan menuntut denda RM200,000 terhadap Malaysiakini kerana kegagalan portal berita itu menguruskan komen pembacanya.

Bagaimanapun, peguam Malaysiakini, Malik Imtiaz Sarwar memohon denda minimum RM20,000 dan maksimum RM30,000.

Malik berhujah jumlah itu cukup untuk mencerminkan rasa tidak senang mahkamah sambil menunjukkan belas kasihannya bahawa ini merupakan kes pertama seumpamanya.


CEO Malaysiakini mohon maaf

10.12 pagi: Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran memohon maaf kepada Mahkamah Persekutuan.

Dia mengemukakan permohonan maaf semasa prosiding di mahkamah terbuka di hadapan panel tujuh hakim hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat semasa hujahan berhubung sabitan ke atas Malaysiakini kerana menghina mahkamah melalui komen pembacanya.

Sebelum itu, peguam utama Malaysiakini, Malik Imtiaz Sarwar memberitahu panel hakim bahawa anak guamnya memohon maaf tanpa ragu-ragu atas apa yang berlaku.


Mahkamah dengar hujah berhubung sabitan

9.59 pagi: Mahkamah Persekutuan kini mendengar hujah dari pasukan pembelaan yang mewakili Malaysiakini dan Jabatan Peguam Negara berhubung sabitan terhadap portal berita tersebut kerana menghina mahkamah.


Tak boleh guna ruangan komen dalam talian untuk serang badan kehakiman- Mahkamah Persekutuan

9.57 pagi: Mahkamah Persekutuan memutuskan kes menghina mahkamah terhadap Malaysiakini merupakan peringatan kepada orang ramai untuk tidak menggunakan ruangan komen dalam talian untuk menyerang badan kehakiman.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, yang mempengerusikan panel hakim, berkata walaupun kebebasan bersuara dilindungi, orang ramai masih harus mematuhi undang-undang.

Dia berkata rakyat Malaysia mesti menggunakan budi bicara ketika menulis komen dalam talian.


Malaysiakini didapati bersalah hina mahkamah

9.53 pagi: Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa responden pertama, Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah.

Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf yang mempengerusikan  panel hakim bagaimanapun berkata mereka tidak mendapati Ketua Pengarang Malaysiakini yang juga responden kedua, Steven Gan bersalah kerana menghina mahkamah.

Keputusan yang dibacakan oleh Rohana adalah keputusan majoriti 6-1.

Keputusan minoriti adalah dari hakim Mahkamah Persekutuan, P Nallini.


Malaysiakini sepatutnya menyedari komen pembaca - Mahkamah Persekutuan

9.45 pagi: Hakim dalam membacakan penghakimannya, berkata Malaysiakini seharusnya menyedari komen yang disiarkan.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf antara lain berkata Malaysiakini mempunyai struktur pasukan editorialnya sendiri.

Dia berkata, tidak mungkin Malaysiakini tidak menyedari komen pembacanya.


Hakim mula bacakan penghakiman 

9.20 pagi: Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf mula membacakan keputusan majoriti dalam permohonan penghinaan terhadap Malaysiakini.

Panel tujuh hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim; dan hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.


CEO Malaysiakini turut berada di mahkamah

9.12 pagi: Sementara menunggu prosiding bermula, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini, Premesh Chandran dilihat bercakap-cakap dengan peguam utama, Malik Intiaz Sarwar.

Sementara itu, peguam kanan persekutuan, S Narkunavathy juga dilihat berada di mahkamah. Narkunavathy mewakili Jabatan Peguam Negara.


Petugas media ikuti prosiding secara dalam talian

8.57 pagi: Petugas media dilihat bersiap sedia untuk membuat liputan di dewan persidangan Istana Kehakiman.

Dewan ini adalah tempat wartawan mengikuti prosiding yang akan disiarkan secara langsung.

Peguam utama Malaysiakini, Malik Imtiaz Sarwar dilihat sudah berada di Mahkamah Persekutuan. Prosiding bagaimanapun belum dimulakan.


Steven Gan tiba di mahkamah

8.16 pagi: Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan tiba di Istana Kehakiman di Putrajaya.


Selepas beberapa kali ditangguhkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP), Mahkamah Persekutuan pagi ini akan menyampaikan keputusan mengenai tuduhan menghina mahkamah terhadap portal Malaysiakini.

Panel tujuh hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf akan membuat keputusan apakah portal berita dalam talian itu telah melakukan penghinaan melalui komen pembacanya.

Sekiranya Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan didapati menghina mahkamah, hukuman boleh dijatuhkan pada hari yang sama.

Tidak ada had hukuman dalam peruntukan undang-undang untuk kes menghina mahkamah. Justeru Malaysiakini berdepan kemungkinan dikenakan denda dan / atau Gan dihukum penjara.

Ini adalah kali pertama Malaysiakini menghadapi pertuduhan menghina mahkamah sejak penubuhannya 21 tahun lalu.

Langkah itu menarik perhatian banyak pihak, antaranya Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), yang mengatakan pertuduhan ini akan membawa kepada risiko lebih banyak penapisan media.

Pada 15 Jun tahun lalu, Peguam Negara (AG), Idrus Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap portal berita tersebut.

Dua hari kemudian, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk meneruskan tuduhan berkenaan.

Pada 13 Julai tahun lalu, mahkamah persekutuan selesai mendengar hujah dari pihak pendakwaan dan pembelaan, namun menangguhkan keputusannya.

Anggota panel Mahkamah Rayuan yang lain adalah Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim; dan hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.

ADS