Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kedutaan AS, Pesuruhjaya Tinggi Britain dan Kanada pandang serius kes Mkini
Diterbitkan:  Feb 19, 2021 2:13 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Suruhanjaya Tinggi British dan Kanada serta Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur melahirkan kebimbangan terhadap keputusan mahkamah yang mensabitkan Malaysiakini bersalah menghina mahkamah susulan komen pembacanya.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Pesuruhjaya Tinggi Charles Hay dan pemangku pesuruhjaya Tinggi Kanada Esther Van Nes serta kenyataan kedutaan AS sebentar tadi.

“Kami memandang serius keputusan terhadap Malaysiakini.

“Kebebasan media penting untuk keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat.

"Orang ramai harus dibenarkan membincangkan sesuatu isu secara bebas,” kata Hey dan Van Nes.

Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhi hukuman RM500,000 kepada Malaysiakini, walaupun Jabatan Peguam Negara hanya memohon jumlah sebanyak RM200,000.

Dalam keputusan majoriti 6-1, hakim memutuskan Malaysiakini bertanggungjawab atas penghinaan terhadap mahkamah menerusi komen pembaca tetapi memutuskan ketua editor Steven Gan(bawah)  tidak bersalah.

Ketika menyampaikan keputusan, Presiden Mahkamah Rayuan, Rohana Yusuf berkata jumlah denda itu adalah wajar kerana komen itu tersebar luas dalam dan luar negara, dan kandungannya bersifat palsu dan celaan, serta mengandungi tuduhan rasuah.

Gan berkata keputusan itu akan memberikan kesan terhadap usaha Malaysiakini mengutarakan isu-isu kepentingan awam dan memberikan tamparan hebat kepada kempen berterusan portal ini untuk memerangi rasuah.

"Saya rasa keputusan yang dibuat terhadap kami dan denda besar yang telah dijatuhkan terhadap kami mungkin merupakan usaha bukan hanya menghukum kami tetapi menutup kami.

"Saya sangat kecewa. 

"Jenayah apa yang dilakukan oleh Malaysiakini sehingga kami terpaksa membayar RM500,000 apabila ada individu yang dituduh menyalahgunakan kuasa untuk berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit masih bebas," katanya.

Sementara itu, kedutaan AS pula berkata keputusan hari ini melahirkan kebimbangan susulan kesannya terhadap kebebasan akhbar di Malaysia.

“Kebebasan bersuara, termasuk untuk ahli media dan masyarakat awam, adalah asas untuk wacana terbuka dan prinsip demokrasi yang menyokong akauntabiliti dan pemerintahan yang baik,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS