Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin alu-alukan Gerakan sertai PN Selangor
Diterbitkan:  Feb 22, 2021 4:08 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Gerakan secara rasminya dilantik menyertai kepimpinan Perikatan Nasional Selangor, kata Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, mesyuarat badan perhubungan PN Selangor, semalam dengan sebulat suara bersetuju untuk melantik Pengerusi Gerakan Selangor, Ang Chin Tat sebagai naib pengerusi PN Selangor, bersama dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Bersatu Selangor, Abdul Rashid Asari.

“Penyertaan Gerakan ke dalam PN adalah amat signifikan untuk memperkukuh citra PN dan membuktikan dasar PN yang inklusif dan meraikan kepelbagaian.

“Saya yakin dasar ini akan memperkukuh usaha PN untuk menggembleng penyertaan dan dukungan rakyat khususnya generasi milenial.

“PN juga beriltizam untuk mendakap paradigma baru dalam perjuangan rakyat dan menyuntik dinamisme baru kepada politik yang berteraskan nilai,” kata Azmin dalam satu kenyataan, hari ini.

Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, berkata Selangor meraikan epelbagaian bahasa, kaum dan agama sebagai kesatuan yang utuh dan dinamik.

Katanya, PN Selangor membuat ketetapan untuk memperkukuhkan kerjasama yang sedia ada dan melangkah maju sebagai satu kekuatan dalam PRU-15 dan pasca pilihan raya untuk membentuk kerajaan yang utuh dan stabil dengan penyertaan parti-parti anggota yang lebih unggul dan peranan yang dinamik.

Penggabungan Gerakan Selangor ke dalam kepemimpinan PN negeri berlaku setelah bekas parti BN itu secara rasmi bergabung dalam gabungan tersebut pada awal bulan ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 11 Februari menerima permohonan Gerakan untuk bergabung dengan PN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS