Malaysiakini
BERITA

Kenyataan berkaitan Agong: Polis akan ambil keterangan Aziz Bari

Annabelle Lee & Faisal Asyraf

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Feb 2021, 3:59 pagi

Ketua Pembangkang Perak Abdul Aziz Bari dijangka dipanggil polis Rabu ini untuk memberi keterangan berhubung kenyataan yang dibuatnya tentang Yang di-Pertuan Agong dalam satu siaran langsung di Facebook.

Aziz yang juga naib presiden DAP Perak berkata, siasatan tersebut mungkin berkenaan kenyataannya berkenaan kedudukan Agong dalam proklamasi darurat.

"Ia hanya isu yang dibincangkan ketika sesi Facebook live saya...tetapi apa yang saya boleh cakap ialah, semua yang saya perkatakan ada asas dalam Perlembagaan," katanya kepada Malaysiakini.

Dia memaklumkan laporan polis telah dibuat terhadapnya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Faridalathrash Wahid mengesahkan polis akan mengambil keterangan Aziz pada Rabu ini, tetapi memaklumkan yang polis negeri tidak akan terlibat dalam siasatan.

Difahamkan pasukan daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman yang akan mengambil keterangan Aziz.

Pada 12 Jan lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperkenankan pengisytiharan darurat untuk mengekang peningkatan kes Covid-19.

Bagaimanapun, sejumlah pihak mendakwa Muhyiddin menggunakan pengisytiharan itu untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.