Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perhimpunan Agung Umno 27 dan 28 Mac
Diterbitkan:  Feb 23, 2021 4:02 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 akan diadakan pada 27 dan 28 Mac depan selepas ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agungnya Ahmad Maslan, berkata perhimpunan itu akan diadakan secara bersemuka dan juga secara maya.

"Majlis tertinggi Umno memutuskan tarikh PAU 2020 ialah pada 27 dan 28 Mac 2021 (Sabtu dan Ahad).

"Perhimpunan PAU adalah kombinasi perhimpunan secara bersemuka dan juga secara maya."

"Segala prosedur operasi standard (SOP), PKP, PKPP dan PKPP akan dipatuhi," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Umno menangguhkan perhimpunan agung tahunan mereka susulan penguatkuasaan PKP di seluruh negara bermula 13 Januari.

Asalnya ia dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Jan lalu.

PAU kali ini dijangka lebih panas susulan hubungan parti itu dengan Bersatu terus tegang dengan sebahagian besar bahagian Umno meluluskan usul untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Usul tersebut sudah diterima di peringkat majlis tertinggi namun perlu disahkan di peringkat perhimpunan agung parti itu.

Ia berlaku ketika Umno memberi tekanan kepada kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar pilihan raya umum diadakan.

Beberapa pemimpin kanan Umno menjelaskan tuntutan itu bukan bermakna mereka mahu PRU diadakan sekarang, sebaliknya diadakan apabila wabak Covid-19 dapat dikawal.

Lihat Komen
ADS