Malaysiakini
BERITA

Kesatuan pekerja AIM dakwa tak terima yuran ahli RM140,000

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Feb 2021, 10:30 pagi

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) gagal menyerahkan yuran bulanan kepada kesatuan sekerjanya sejak 10 bulan lalu yang berjumlah RM140,000.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansur berkata sebaliknya yuran berkenaan telah dipotong oleh AIM daripada gaji pekerja, namun tidak diserahkan kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia Semenanjung Malaysia (Kepaim).

Sehubungan itu MTUC hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Kita rasa ini satu ketidakadilan dan melanggar perjanjian bersama yang ditandatangani kesatuan dengan pihak syarikat.

“Jadi kami meminta agar AIM membayar semula yuran kesatuan yang sudah dipotong daripada gaji pekerja selama 10 bulan itu,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis hari ini.

Dalam pada itu, Kepaim juga memaklumkan sudah menghantar beberapa surat kepada AIM berhubung perkara ini tetapi sehingga kini masih tiada jawapan.

Oleh itu, Kamarul Baharain berkata MTUC juga akan mengambil tindakan susulan jika isu berkenaan tidak dapat diselesaikan demi kepentingan pekerja.

Laporan polis itu turut mendapat sokongan Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Sementara itu, Pengerusi AIM, Lajim Ukin, berkata lembaga AIM telah memutuskan pada mesyuarat 8 Feb lalu untuk memulangkan wang berkenaan kepada Kepaim.

Bagaimanapun katanya, Kepaim tidak pernah berunding dengan pihak AIM sehingga membuat laporan polis seolah-olah pihak AIM cuba menipu.

"Lembaga AIM dah putuskan pada mesyuarat 8 Feb untuk pulangkan kepada Kepaim. Duit ada dengan kita. Tapi mereka tak nak berunding, mereka nak lapor polis seolah AIM cuba menipu.

"Kita ada RM146,000 nak pulangkan pada mereka. Tak ada masalah. Tapi mereka nak buat laporan polis, kita tak ada masalah," katanya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.