Peluang Dr Mahathir 50-50
Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah daripada bapanya, Tun Dr Mahathir, untuk terpilih sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno November ini.
Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah daripada bapanya, Tun Dr Mahathir, untuk terpilih sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno November ini.
Seorang perwakilan dari Zon Jitra berkata peluang bekas Perdana Menteri menang dalam pemilihan Sabtu ini adalah masih 50-50.
Seramai 17 calon termasuk Mukhriz dan Dr Mahathir telah mengesahkan bertanding sebagai perwakilan ke perhimpunan Umno nanti. Mukhriz mendapat 50 pencalonan manakala Dr Mahathir mendapat 16 pencalonan.
Perwakilan tersebut berkata, ini berikutan wujud kumpulan tertentu yang mahu mencantas nama bekas Presiden Umno dari menjadi perwakilan.
Terdapat sebelas zon Umno dalam Kubang Pasu dengan sebanyak 143 cawangan, yang akan menghantar 508 perwakilan ke mesyuarat perwakilan bahagian itu Sabtu ini.
Perwakilan tersebut memberitahu malaysiakini, setakat ini, Mukhriz dilihat mempunyai peluang lebih cerah daripada bapanya untuk terpilih sebagai perwakilan.
Menurutnya, dalam mesyuarat Zon Jitra yang diadakan baru-baru ini, para perwakilan serba salah sama ada mahu memilih bekas Perdana Menteri itu sebagai perwakilan.
Zon Jitra mempunyai 15 cawangan dengan 48 orang perwakilan ke mesyuarat bahagian Sabtu ini.
Kempen penerangan
"Dalam mesyuarat perwakilan Zon Jitra itu, Tun Dr Mahathir tidak mendapat lebih daripada 50 peratus sokongan...Sokongan untuk beliau adalah di sekitar 20 undi.
"Ini kerana ramai yang berpendapat beliau tidak sesuai menjadi perwakilan kerana kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno.
"Selain itu tindakan beliau mengecam kerajaan juga turut memberi kesan kepada 'mood' para perwakilan," katanya.
Sementara itu, Generasi Muda (Gen-M) yang merupakan kumpulan penyokong Dr Mahathir kini turut berada di Kubang Pasu untuk berkempen untuk bekas Perdana Menteri itu.
Jurucakapnya berkata, mereka memberi penerangan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri itu, seperti isu pembatalan projek jambatan bengkok, isu Proton dan juga isu-isu politiks semasa dalam Umno.
Kumpulan tersebut tiba di Kubang Pasu sejak Ahad lalu dan telah mengadakan kempen dari rumah ke rumah.
Katanya, mengikut perancangan asal, Gen M akan menghantar 30 orang secara bergilir-gilir mulai Ahad lalu sehingga mesyuarat perwakilan Sabtu ini.
Ditanya mengenai peluang Dr Mahathir, jurucakap itu berkata, setakat ini pihak melihat peluang bekas perdana menteri sebagai 50-50.
Beliau berkata, melalui kempen yang diadakan, pihaknya juga mendapati ada ahli Umno yang tidak menyedari Dr Mahathir akan bertanding sebagai perwakilan bahagian ke perhimpunan agung Umno.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.