Kjaan dicadang kaji semula pemilihan syarikat konsesi tol
Menteri Kerja Raya Datuk Seri S.Samy Vellu akan mencadangkan kepada kerajaan hanya syarikat yang bersedia menawarkan tempoh yang lebih lama bagi kenaikan kadar tol akan diberikan kontrak membina lebuh raya bertol.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri S.Samy Vellu akan mencadangkan kepada kerajaan hanya syarikat yang bersedia menawarkan tempoh yang lebih lama bagi kenaikan kadar tol akan diberikan kontrak membina lebuh raya bertol.
Sebagai contoh, katanya, keutamaan diberikan kepada syarikat yang membida untuk sebuah projek lebuh raya, sedia menaikkan kadar tol setiap lima tahun dan bukannya setiap dua atau tiga tahun sepanjang tempoh konsesi.
"Ini patut menjadi kriteria utama dalam memilih syarikat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, syarikat baru harus dipertimbangkan untuk projek lebuhraya jika mereka boleh menawarkan perjanjian yang lebih baik bagi kerajaan dan rakyat.
"Saya akan membangkitkan perkara ini dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Effendi Norwawi," katanya.
Beliau berkata kriteria itu, jika dipersetujui kerajaan, juga patut meliputi projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Kumpul maklumat
Samy Vellu juga berkata projek lebuhraya yang diswastakan tahun depan oleh EPU harus menyertakan sama Kementerian Kerja Raya dalam semua perundingannya dengan syarikat konsesi.
"Kementerian akan mengumpulkan semua maklumat termasuk struktur kos dan bagaimana syarikat akan membuat pinjaman bank, kadar faedah, berapa banyak mereka perlu membayar balik kepada bank dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata selepas mengumpulkan maklumat itu, kementerian berkenaan akan membuat saranan kepada EPU mengenai kos projek dan kadar tol yang patut dikenakan.
"Buat masa ini EPU membuat keputusan itu dan menyerahkan projek berkenaan kepada kementerian untuk dilaksanakan.
"Jadi adalah tidak adil untuk menyalahkan kementerian jika ada orang tidak berpuas hati dengan kadar tol dan sebarang kenaikan, katanya.
Menteri itu menjelaskan bahawa kerajaan tidak menerima secara membuta tuli kadar tol yang dicadangkan oleh syarikat konsesi untuk lebuh raya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.