Hadi dakwa Umno main isu perkauman untuk tutup krisis dalaman
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, Umno sedang memainkan isu perkauman bagi menutup krisis dalaman yang sedang berlaku dalam parti itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, Umno sedang memainkan isu perkauman bagi menutup krisis dalaman yang sedang berlaku dalam parti itu.
"Apabila terjadi pergeseran sesama sendiri, mereka menimbulkan isu perkauman seperti yang dilakukan di Pulau Pinang," katanya kepada wartawan selepas melancarkan Malam Perpaduan Nasional di ibu negara malam tadi.
Majlis makan malam itu anjuran bersama Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dan Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Muslimat PAS Pusat.
"Umno gagal membantu orang Melayu, mereka hanya membantu Umnoputra. Orang bukan Umnoputra sama seperti orang Cina," kata Hadi lagi.
Sempena majlis itu, Abdul Hadi turut melancarkan buletin PAS dalam bahasa Mandarin 'Ren Min Shi Shi (Berita Semasa Rakyat) dan penjualan kueh bulan halal.
Hadi turut menyentuh tentang penubuhan kelab penyokong PAS yang menurutnya bertujuan untuk memecahkan tembok perkauman yang dimainkan oleh Barisan Nasional (BN) terhadap parti itu.
Bantuan pada semua
Abdul Hadi berkata, penubuhan kelab itu penting kerana PAS tidak memiIiki media massa untuk menjelaskan polisi parti itu kepada masyarakat bukan Islam.
Beliau berkata, Islam melarang hanya memberi bantuan kepada umatnya yang miskin sahaja sedangkan kaum lain yang melarat dipinggirkan.
Katanya, kesamaratan ini merangkumi semua bidang kehidupan termasuk ekonomi, pendidikan, perumahan dan kemudahan asas.
Bagaimanapun, menurutnya, oleh kerana pada masa ini bumiputera yang paling ramai miskin, maka pembelaan perlu diberi kepada mereka terlebih dahulu.
"Pembangunan ekonomi menurut Islam tidak berasaskan perkauman tetapi berdasarkan keadilan kepada semua kaum," katanya lagi.
Ditanya mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa orang Cina yang memeluk Islam boleh dilantik menjadi Menteri Besar, Hadi berkata, seorang Cina Muslim yang bijak, berpengaruh dan diterima oleh majoriti masyarakat boleh dilantik menjadi Menteri Besar.
Bagaimanapun, katanya oleh kerana hari ini majoritinya orang Melayu, maka orang Melayu menjadi Menteri Besar.
Jalin kerjasama
Abdul Hadi juga menjelaskan bahawa PAS sedia mengadakan dialog dan menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak dalam pelbagai bidang termasuk yang berkaitan dengan agama Islam.
Katanya, PAS telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Awang bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, PAS menentang dialog yang dianjurkan oleh Kumpulan Article 11 kerana ia diadakan secara tertutup sedangkan cara sepatutnya ialah di tempat terbuka.
"PAS menegaskan enakmen keluarga Islam perlu di dalam kuasa kerajaan negeri tetapi hari ini ia menjadi hak kerajaan pusat.
"Kita mahu hak orang Islam dilindungi sepenuhnya tanpa menyentuh hak orang bukan Islam," katanya lagi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.