Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru, menggantikan Tan Sri Mohd Bakri Omar berkuatkuasa 12 September ini.

Pelantikan Musa telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri setelah diperakukan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, merangkap Setiausaha Suruhanjaya Pasukan Polis, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pelantikan Musa, 55, dibuat berikutan tamatnya lantikan kontrak Mohd Bakri pada 11 September ini.

Musa yang berkelulusan undang-undang dari United Kingdom memulakan perkhidmatannya dalam pasukan polis sebagai Inspektor pada 11 November 1969.

Antara kursus yang pernah dihadirinya ialah dalam bidang kepimpinan dan pengurusan, Pemerolehan Risikan, Penguatkuasaan Dadah dan Undang-undang Narkotik.

Menurut laporan Bernama, sntara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Pegawai Pendakwa/Jenayah Melaka, Penolong Pengarah Bahagian Narkotik, Bukit Aman, Pensyarah Maktab Polis Kuala Kubu Baru, Pegawai Latihan di Bukit Aman dan Timbalan Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-undang Jenayah, Bukit Aman.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah I, Bukit Aman (2001), Ketua Polis Johor berpangkat Deputi Komisioner (2003) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman (2004).

Musa dilantik sebagai Timabalan Ketua Polis Negara tahun lalu.

Ucap terima kasih

Sementara itu, Bernama melaporkan Musa berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi Ketua Polis Negara.

Ditanya pemberita mengenai bakal penggantinya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, Musa berkata: "Saya tidak tahu lagi."

Beliau pemberita demikian selepas majlis pelancaran Sistem Laporan Kecemasan Polis (PERS) di Kompleks Sungai Wang Plaza, yang turut dihadiri Bakri.

"Majlis hari ini merupakan yang terakhir bagi saya," kata Bakri.

Selepas merasmikan majlis berkenaan, Bakri enggan mengulas ketika dikerumuni pemberita untuk mendapatkan komen mengenai persaraannya.

"Tak payahlah, saya nak beredar," katanya sambil menutup pintu kereta.

Bakri, yang berasal dari Manjung, Perak, dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 5 November 2003 bagi menggantikan Tan Sri Norian Mai.

Lulusan Ijazah Kesusasteraan ini menyertai Polis Diraja Malaysia sebagai Kadet ASP pada 1 Januari 1971.

Semasa pentadbirannya, banyak perubahan yang dibawa oleh kerajaan termasuk Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan dan Pengurusan Polis sebagai langkah membaiki imej dan mutu perkhidmatan pasukan itu.