Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sokong Muhyiddin demi kepentingan pengundi, kata 2 bekas MP PKR
Diterbitkan:  Feb 28, 2021 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Anggota Parlimen Tebrau Steven Choong menjelaskan bahawa dia menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana mahu menyelesaikan isu-isu rakyat.

"Hari ini saya mengisytiharkan sokongan saya kepada perdana menteri sebab beliau (Muhyiddin) faham dan setuju dengan keperluan saya untuk ada akses dan berjumpa dengan semua menteri dan ketua agensi kerajaan untuk membangkitkan dan cuba menyelesaikan isu-isu rakyat yang selama ini disampaikan kepada saya melalui pelbagai saluran," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Choong dan Anggota Parlimen Julau Larry Sng memberikan akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan terhadap kerajaan PN sekali gus mengesahkan desas-desus dua anggota parlimen PKR itu meninggalkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Choong menambah, antara lain isu yang perlu diberi perhatian olehnya seperti masalah banjir, pembuangan sampah haram, isu along (ceti haram), penipuan, perumahan kos rendah, isu perlesenan, pencemaran sungai, pekerja asing dan tempatan yang semuanya perlu ditangani secepat mungkin.

Justeru, katanya, dengan pengalaman luas sebagai akauntan dan juruaudit, dia boleh bekerjasama dengan semua menteri dan agensi kerajaan untuk mencari penyelesaian isu-isu tersebut.

"Saya sudi membantu mana-mana pihak kerajaan khususnya di dalam bidang kepakaran saya. Sekiranya dipanggil, saya sudi bekerjasama dengan kementerian kewangan untuk mencari, merancang atau merangka sistem percukaian supaya hasil kutipan cukai akan meningkat dan pada masa yang sama tidak membebankan kumuniti perniagaan dan rakyat.

"Saya berharap dapat menjadi orang tengah atau 'jambatan' antara kerajaan dan komuniti perniagaan supaya isu-isu rakyat dapat perhatian kerajaan," jelasnya.

Larry Sng

Sementara itu Sng pula berkata dia menyokong Muhyiddin kerana terlalu banyak ketidakstabilan politik sejak setahun lalu dan ia menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

"Saya benar-benar percaya cara terbaik buat masa ini adalah dengan mengetepikan politik, supaya kita dapat bantu menstabilkan dan membina semula negara tercinta.

"Yang pasti, perdana menteri melakukan apa yang perlu untuk bantu rakyat Malaysia dalam masa yang sukar ini dan saya percaya bahawa saya juga harus memainkan peranan menyokongnya. Terlalu banyak masa disia-siakan, berpolitik dan bertengkar sementara rakyat menderita," katanya.

Tambahnya, parlimennya iaitu Julau merupakan kawasan termiskin dan menderita akibat wabak Covid-19.

"Dengan langkah ini, saya yakin dapat menunaikan janji pilihan raya kepada pemilih saya. Saya memenangi pilihan raya 2018 sebagai seorang bebas dan sekarang saya menyatakan diri saya sebagai seorang bebas yang mesra kerajaan," kata Sng.

Wanita PKR Johor kesal

Dalam perkembangan itu Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis menyatakan rasa kecewa susulan tindakan Choong.

Katanya, tindakan itu sangat tidak bertanggungjawab kepada amanah rakyat dan undi rakyat yang selama ini memilih PKR sebagai parti yang meneraju Tebrau.

Napsiah Khamis

"Bertanding dan menang menggunakan logo dan lambang PKR dan rakyat juga memilih beliau disebabkan lambang PKR. Pengkhianatan kepada undi rakyat ini adalah satu perkara yang paling hina.

"Pengkhianatan menjadi satu di antara perbuatan tercela. Pengkhianatan menodai nilai-nilai kesetiaan, pengkhianatan juga menyebabkan kerosakan dan kerugian baik dari segi mental mahupun fizikal.

"Saya menyeru untuk semua pengundi supaya pada pilihan raya akan datang kita pastikan pemimpin dusta seperti ini ditewaskan," tegasnya.

Lihat Komen
ADS