Nazri: Tidak ada akta lindungi pemberi maklumat
Kerajaan tidak merancang untuk menggubal akta perlindungan pemberi maklumat walaupun ada desakan ke arah itu bagi meningkatkan integriti pentadbiran negara.
Kerajaan tidak merancang untuk menggubal akta perlindungan pemberi maklumat walaupun ada desakan ke arah itu bagi meningkatkan integriti pentadbiran negara.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz, berkata undang-undang yang sedia ada sudah mencukupi.
Nazri yang juga bertanggungjawab dalam halehwal perundangan berkata, Akta Pencegah Rasuah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk melindungi pemberi maklumat atau 'whistle-blowers'.
Bagaimanapun, beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa akta perlindungan saksi sedang digubalkan.
Katanya, akta tersebut digubal bagi melindungi saksi-saksi yang memberi maklumat dalam siasatan kes jenayah.
Nazri menegaskan demikian ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) mengenai akta perlindungan pemberi maklumat.
Dalam soalan tambahannya, Lim menyuarakan rasa 'hairannya' dengan jawapan menteri berkenaan.
'Dengar kebenaran'
Lim berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan bahawa beliau mahu mendengar kebenaran.
Oleh itu, kata Ketua Pembangkang itu, langkah menggubal akta tersebut adalah caranya untuk memboleh Perdana Menteri mendengar kebenaran.
Dalam jawapannya Nazri berkata: "Seperti yang saya katakan, kita sedang mengkaji penggubalan akta untuk melindungi saksi dan pemberi maklumat biasanya akan dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan."
Dalam soalan tambahannya, M Kula Segaran (DAP-Ipoh Barat) berkata, akta perlindungan pemberi maklumat adalah penting kerana ia akan melindungi saksi-saksi yang memberi kenyatakan sewaktu siasatan.
Sebagai contoh, katanya, siasatan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) mengenai penggabungan ECM Libra-Avenue yang dihentikan selepas Matthias Chang bekas pembantu Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ia prejudis terhadap saman yang dikemukakannya.
Jawatankuasa Parlimen telah memanggil pegawai Kementerian Kewangan untuk memberi keterangan sewaktu siasatan tersebut, tetapi ianya dihentikan selepas pegawai undang-undang kementerian berkenaan sependapat dengan Chang.
Dalam jawapannya, Nazri berkata, sebelum ini, tidak ada saksi yang dipanggil oleh PAC gagal hadir kecuali dalam siasatan kes penggabungan ECM Libra-Avenue kerana ada kes mahkamah berkaitan dengannya. Berita asal

