Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah menangguhkan pada saat-saat terakhir penyerahan surat keputusan siasatannya terhadap krisis yang melanda Parti Rakyat Sarawak (PRS) atas arahan ibupejabatnya di Putraya kerana 'berlaku kesilapan teknikal'.

Surat tersebut sepatutnya diserahkan kepada kedua belah pihak terbabit selepas ROS selesai menjalankan siasatannya.

Pengarah ROS Sarawak, James Ho memberitahu pemberita di pejabatnya bahawa ketua inspektor dari ROS Putrajaya telahpun membawa surat tersbut awal hari ini untuk diserahkan sendiri kepada Presiden PRS, Datuk Dr James Masing dan Setiausaha Agung, Sidi Munan.

Tetapi pada saat-saat akhir, beliau telah dinasihatkan oleh pihak Putraya supaya tidak menyerahkan surat tersebut kerana berlaku 'kesilapan teknikal'.

Menurutnya, surat tersebut dijangka diserahkan kepada kedua belah pihak terbabit dalam tempoh beberapa hari lagi selepas masalah 'teknikal' itu dapat diselesaikan.

Pertemuan tersebut turut dihadiri Dr Masing yang mengetahui puak yang bertelagah dengan satu lagi pihak yang diketuai Timbalan Presiden, Datuk Sng Chee Hua, serta beberapa ahli yang menyokong puak Sng.

Pengarah ROS itu berkata, beliau telah dimaklumkan ibupejabatnya lewat petang semalam supaya memanggil Dr Masing dan Munan hadir ke pejabat untuk menerima surat tersebut.

Punca perbalahan

Puak Sng telah membuat aduan kepada ROS selepas Dr Masing memecat enam penjawat parti termasuk Sidi dan digantikan dengan penyokongnya.

Menurut Puak Sng, tindakan presiden parti itu tidak sah kerana beliau tidak memberi surat tunjuk sebab seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan parti.

Puak Dr Masing kemudian turut membuat aduan kepada ROS pertama mengenai mesyuarat majlis tertinggi pada 14 Jun yang dipengerusikan oleh Sng, yang antara lain, menolak Dr Masing sebagai presiden. Mesyuarat itu turut menetapkan tarikh untuk mengadakan mesyuarat luar biasa bagi melantik presiden baru.

Penangguhan penyerahannya hari ini telah mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kandungan surat tersebut.

Ada pihak yang meneka ROS memberi surat tunjuk sebab mengapa pendaftaran parti itu tidak boleh dibatalkan.

Pihak lain pula meramalkan ROS mungkin membuat keputusan berhubung tindakan puak Dr Masing memecat enam penjawat parti tersebut.

Sementara itu, puak Sng mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi parti malam tadi. Difahamkan ia diadakan untuk membincang tarikh dan masa serta tempat untuk mengadakan persidangan perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan baru PRS. Berita asal