GLOBAL l Polis Thailand menggunakan gas pemedih mata dan meriam air terhadap penunjuk perasaan yang berarak di luar kem tentera di Bangkok pada Ahad.

Reuters melaporkan, penunjuk perasaan melemparkan botol ke arah polis dan berbaris di bahagian kawat berduri berdekatan pintu masuk ke markas Rejimen Infantri 1 di Bangkok, iaitu salah satu dari beberapa unit tentera yang dipindahkan oleh kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha ke kawalan raja pada tahun 2019.

Penunjuk perasaan dari gerakan politik belia yang mula bangkit tahun lalu, mula melanggar sesuatu yang dianggap taboo sebelum ini apabila secara terbuka mengkritik pemerintahan monarki dan menuntut reformasi dijalankan serta menuntut peletakan jawatan Prayuth.

Penunjuk perasaan di situ turut menunjukkan sokongan mereka kepada penentang rampasan kuasa di Myanmar apabila pihak tentera menggulingkan pemimpin Aung San Suu Kyi pada bulan lalu.

"Prayuth telah menyambut kedatangan seorang pegawai Myanmar dari pentadbiran di bawah tentera negara itu ke Thailand awal minggu ini, juga menunjukkan bahawa dia menyokong pimpinan diktator di sana," kata Chukiat Sangwong, yang mengetuai penunjuk perasaan di Thailand.

“Ia tidak okay bagi rakyat Myanmar, jadi mereka telah bergabung dengan kami di sini," katanya.

Pihak istana bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas sejak protes berlaku.

Desakan penyingkiran Prayuth, seorang bekas pemerintah tentera dan kritikan terhadap Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dilakukan secara terbuka sejak tahun lalu.

Kerajaan Thailand telah melarang semua perhimpunan politik melibatkan lima individu atau lebih.