Radzi perjelas kehadirannya di Kubang Pasu
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno mengakui bahawa beliau telah pergi ke Kubang Pasu mingg lalu.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang juga Setiausaha Agung Umno mengakui bahawa beliau telah pergi ke Kubang Pasu mingg lalu.
Tetapi, tidak seperti yang didakwa oleh bekas Pedana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Radzi berkata kehadirannya itu tidak kena mengena dengan urusan politik, tetapi beliau ke sana untuk melihat kebunnya selepas empat bulan tidak dijengahnya di Kampung Padang Satu.
Isnin lalu, Dr Mahathir mendakwa Radzi adalah antara mereka yang cuba menyekat peluangnya untuk dipilih sebagai perwakilan bahagian Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur November ini.
Radzi memberitahu lamanweb mStar Online bahawa ekoran suasana politik sekarang, maka adalah sukar untuknya untuk menjengah kebunnya, kolam ikan dan kolam itik, tanpa disedari orang lain.
Katanya, ketika beliau berada di sana minggu lalu, seorang kenalannya menjemputnya makan malam dan memandang beliau dikenali di kampung tersebut kerana telah 10 tahun membuka kebun di situ, maka berita kedatangannya cepat tersebar.
Ini, tegas Radzi, turut menarik kehadiran ramai tetamu tidak diundang di majlis makan malam itu, termasuk seorang pemimpin Umno bahagian yang telah membangkitkan isu wajar atau tidaknya Dr Mahathir dipilih sebagai salah seorang perwakilan.
"Sumpah, demi Allah, saya tidak tipu. Inilah sebenarnya yang berlaku," katanya dalam laporan tersebut.
Tidak campurtangan
Mengenai makan malam itu, Radzi berkata, beliau hanya mendengar perbincangan antara tetamu pada malam itu mengenai pekara tersebut dan tidak banyak menyampuk atau memberikan pandangan.
Ekoran itu, beliau agak terkilan apabila dituduh Dr Mahathir sebagai salah seorang yang berkempen aktif di Kubang Pasu untuk memastikannya tidak dipilih sebagai perwakilan pada mesyuarat bahagian itu Sabtu ini.
Dr Mahathir juga mendakwa, Radzi hadir di sana hampir setiap hari untuk memberitahu ahli-ahli Umno supaya tidak mengundinya.
"Dulu memang saya kerap juga ke Kubang Pasu menjenguk dusun, melihat ikan dan itik tapi sejak akhir-akhir ini tidak ada masa. Petang Jumaat lalu adalah kali pertama saya ke sana dalam tempoh hampir empat bulan.
"Sebab itu saya pelik apabila dituduh berada di sana hampir setiap hari," jelas Radzi.
Bagaimanpun, Radzi mengakui beliau juga kurang bersetuju dengan tindakan Dr Mahathir bertanding menjadi perwakilan, tetapi tegasnya, keputusan akhir terletak di tangan perwakilan.
Radzi juga yakin tidak ada sebarang campurtangan daripada pihak kepimpinan parti dalam proses pemilihan tersebut.
Sampaikan ucapan
Beliau mengakui merasai kekok jika Dr Mahathir dipilih kerana "saya risau di mana hendak kita letak beliau di perhimpunan nanti?"
"Selama lebih 20 tahun beliau di atas pentas, apabila menjadi perwakilan, entah di mana dia akan ditempatkan kerana tempat duduk perwakilan ditentukan berdasarkan undi. Alangkah tidak elok jika undi meletakkan bekas pemimpin setaraf Dr Mahathir di hujung Dewan Merdeka," katanya.
Kecuali kebimbangan mengenai soal protokol, Radzi berkata, penawaran Dr Mahathir sebagai perwakilan bukan isu besar dalam Umno dan tidak akan menimbulkan sebarang kontroversi di peringkat perhimpunan agung kelak.
Radzi bagaimanapun mengelak memberi jawapan yang tepat apabila ditanya mengenai ketegangan hubungan antara Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno.
"Tanyalah pada mereka. Doa saya ialah supaya dua tokoh besar ini dapat bertemu muka satu hari nanti dan menjelaskan apa yang terbuku di hati masing-masing," katanya sambil menambah, platform terbaik bagi menyelesaikan isu itu ialah mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Mengenai kemungkinan Dr Mahathir dijemput menghadiri mesyuarat MT dalam masa terdekat ini, , Radzi sekali lagi menegaskan MT adalah wadah terbaik bagi Dr Mahathir bertemu Abdullah dan menyelesaikan masalah antara mereka.

