Perbicaraan saman lapan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap kerajaan pada 2004 telah ditangguhkan sehingga Januari tahun depan kerana dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi berhubung siasatan terhadap mereka, tidak didedahkan sepenuhnya.

Hakim Kang Hwee Gee membuat keputusan tersebut dalam kamarnya di Wisma Denmark, Kuala Lumpur, pagi ini.

Ini berikutan perbicaraan semalam di mana Peguam Kanan Persekutuan Kamaludin Mohd Said menyoal-balas Mohd Ezam Mohd Nor mengenai apa yang berlaku sepanjang 60 hari tahanannya berdasarkan dokumen yang diserahkan kepadanya oleh pihak polis.

Bagaimanapun, salinan dokumen tersebut tidak diberikan kepada peguam pihak plaintif dan ia juga mengandungi bahagian yang dihitamkan.

Hakim Kang mengingatkan bahawa sekiranya dokumen tersebut tidak didedahkan sepenuhnya, Timbalan Pendakwaraya tidak akan dibenarkan bertanya soalan berdasarkan bahan tersebut. Dokmen tersebut juga tidak boleh diterima kerana ada bahagian yang dihitamkan.

Kemudian dimaklumkan bahawa dokumen tersebut mengandungi catatan minit siasatan yang dijalankan oleh pegawai cawangan khas terhadap Ezam sewaktu dia ditahan yang ternyata satu bahan yang diklafikasikan di bawah OSA.

Tunggu pengesahan

Peguam plantif, Razlan Hadri memberitahu pihak media bahawa mereka juga perlu mengesahkan dokumen yang diterima daripada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, dokumen tersebut ditaipkan sedangkan pihaknya dimaklumkan minit siasatan tersebut adalah dalam tulisan tangan.

"Jadi kita akan membuat pengesahan mengenai ketulenannya," katanya.

Bekas tahanan ISA itu Ezam, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Badaruddin Ismail, Badrulamin Bahron, Abdul Ghani Haroon and N Gobalakrishnan menyaman kerajaan kerana didakwa ditahan secara tidak sah dan melanggar hak-hak di bawah Perlembagaan dan saman malu.

Pada bulan April 2001, semua plantif ditahan sehingga dua tahun di bawah Seksyen 73(1) ISA 1967 kerana didakwa bertindak secara yang memudaratkan keselamatan negara.

Mereka ditahan kerana didakwa sebagai militan dan aktivitis reformasi yang berniat untuk menggunakan kekerasan dengan menggunakan bom api, bom dan pelancar bom tangan untuk mengguling kerajaan Malaysia.

Dalam saman itu, mereka menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan kerajaan sebagai defenden. Bahan asal