Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSR: Pulau Pinang lulus sagu hati RM500 untuk nelayan
Diterbitkan:  Mar 1, 2021 9:25 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

Kerajaan Pulau Pinang meluluskan pembayaran pertama berjumlah RM500 sebagai sagu hati kepada nelayan di bawah pakej Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) bagi projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata bayaran akan mula dibuat pada minggu ini bagi mereka yang telah mendaftarkan maklumat dengan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).

"Pembayaran RM500 ini akan dijalankan secara berkelompok atau berkumpulan berdasarkan tarikh pendaftaran dibuat.

"Ini bermakna mereka yang mendaftarkan diri lebih awal akan mendapat bayaran dahulu," menurutnya dalam kenyataan di George Town hari ini.

Ahmad Zakiyuddin berkata senarai nama nelayan yang berdaftar itu juga telah disemak oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Nelayan Pulau Pinang berkata kumpulan pertama akan menerima bayaran pada Rabu ini manakala kumpulan kedua dan seterusnya menerima bayaran masing-masing pada 5, 10 serta 12 Mac depan.

"Jumlah keseluruhan nelayan (tekong dan awak-awak) yang akan menerima manfaat SIMP ialah 1,615 orang berdasarkan rekod LKIM," katanya.

Pelaksanaan PSR seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas dan ia dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion.

- Bernama

Lihat Komen
ADS