Paling Popular
Terkini

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada bekas menteri sains dan alam sekitar Yeo Bee Yin.

Permintaan maaf Jamal itu sebahagian penyelesaian dalam tuntutan saman kerana memfitnah Yeo.

Jamal membacakan permintaan maaf daripada pernyataan yang telah disediakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini di hadapan wartawan dan pegawai media yang lain.

"Saya sekarang mengakui bahawa YB Yeo Bee Yin seorang yang jujur dan telus dalam pengurusan wang Skim Mesra Usia Emas.

"Saya ingin memohon maaf kepada YB Yeo Bee Yin atas kesilapan saya ini. Saya minta maaf, YB Yeo Bee Yin," katanya. 

Pada tahun 2017, Yeo memfailkan tuntutan di mahkamah terhadap Jamal atas tuduhan penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Yeo, yang juga ahli parlimen Bakri, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Awal hari ini semasa prosiding Mahkamah Tinggi terbuka, Hakim Rohana Ali Yusof merekodkan penyelesaian antara pihak terlibat seperti yang disampaikan oleh peguam mereka.

Hakim Rozana mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak terlibat kerana bersetuju untuk menyelesaikan tuntutan saman tersebut di luar mahkamah.

"Hari ini kita dah capai penyelesaian, jadi mahkamah telah rekodkan persetujuan. Mahkamah juga berterima kasih kepada pihak-pihak kerana kes ini agak lama memandangkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini, mahkamah perlu dahulukan kes-kes lama," katanya.

Berdasarkan deraf penghakiman persetujuan, Jamal juga dihalang sama ada menerusi dirinya sendiri, ejen atau pekerjanya daripada selanjutnya mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebar ucapan yang dikatakan memfitnah.

Jamal juga dihalang mengucapkan, menulis, menerbit atau menyebar perkataan-perkataan yang dikatakan memfitnah seperti dalam penyataan tuntutan terpinda pada 16 Jun 2017 atau kata-kata yang mempunyai kesan sama berkenaan plaintif atau penyataan yang boleh dikira sebagai memfitnah.

Penghakiman persetujuan itu tidak boleh mengikat dan diguna pakai ke atas defendan oleh mana-mana pihak lain yang mempunyai tindakan saman serupa terhadap Jamal. Penghakiman persetujuan itu juga tanpa perintah mengenai kos.

Yeo memfailkan saman itu, pada 14 Jun 2017 menuntut ganti rugi sebanyak RM5 juta daripada Jamal atas kenyataannya yang didakwa berbaur fitnah berhubung isu penyelewengan dana Yawas.

Penyataan tuntutan Yeo mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan itu pada 21 Mac 2017 dan diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita serta akaun Facebook defendan.

Kenyataan itu, antara lain kata Yeo memberi persepsi dirinya menyalahgunakan dana awam serta seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS