Dua pengerusi badan perhubungan Umno negeri menasihatkan ahli Umno Kubang Pasu supaya tidak memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno November ini.

Nasihat itu dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan rakan sejawatannya dari Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Mereka sependapat bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak sesuai dibariskan duduk bersama dengan para perwakilan di perhimpunan agung itu nanti.

Mereka mahu Dr Mahathir terus dipandang tinggi sebagai seorang pemimpin yang dihormati.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Kuala Krai, Abdul Ghani berkata ahli Umno Kubang Pasu perlu membuat keputusan terbaik esok dengan mengekalkan kedudukan tinggi Dr Mahathir sekarang.

Annuar pula berkata, beliau percaya ahli-ahli Umno mahu melihat Dr Mahathir duduk di barisan depan sebagai tetamu kehormat dan bukannya sebagai perwakilan di perhimpunan agung Umno nanti.

Semalam, Ketua Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum sendiri turut membuat membuat rayuan terakhir kepada bekas Pedana Menteri itu supaya menarik diri.

Bernama melaporkan, dalam keadaan sebak, Mohd Johari memberitahu sidang akhbar di pejabat Umno Bahagian Kubang Pasu semalam bahawa beliau amat menghormat i Dr Mahathir yang telah menjadi Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu selama 30 tahun.

"Ini rayuan terakhir sebelum persidangan perwakilan Sabtu ini. Dengan rendah hati saya merayu kepada Tun," katanya sambil menambah, walaupun Dr Mahathir tidak dihalang bertanding, namun demi menjaga imejnya, Umno bahagian merayu beliau menarik diri.

17 calon bersaing

"Kami tak pernah minta apa-apa daripada Tun. Kami cuma nak rayu Tun (tarik balik hasrat bertanding kerusi perwakilan)," katanya pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri sebahagian besar anggota jawatankuasa Umno bahagian itu.

Mohd. Johari, yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, Dr Mahathir hanya memperoleh 15 pencalonan dan akan bersaing bersama 16 calon lain untuk merebut tempat sebagai anggota perwakilan.

"Adalah tidak sesuai Tun, seorang negarawan yang amat dikagumi dan dihormati, bertanding untuk merebut tempat sebagai perwakilan Umno bahagian," katanya.

Sementara itu, turut menarik perhatian ialah laporan gerhana separa bulan boleh disaksikan di seluruh Malaysia pada awal pagi ini, yang turut dikaitkan dengan signifikan persidangan Umno Kubang Pasu esok untuk memilih tujuh perwakilan ke Kuala Lumpur.

Selain Dr Mahathir, 16 orang akan bertanding merebut jawatan tersebut, termasuk anak bekas Perdana Menteri itu, Datuk Datuk Mukhriz.

Sesetengah pemerhati politik mula tertanya-tanya apakah esok juga akan menandakan 'gerhana politik' Dr Mahathir sekiranya beliau gagal terpilih sebagai perwakilan Umno Kubang Pasu ke perhimpunan agung Umno November ini.

Sebelum ini, Dr Mahathir telah mengkritik keras keputusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membatalkan projek yang dimulakan dalam era pertadbirannya termasuk pembatalan projek pembinaan jambatan bengkok.

Sementara itu, suasana menjelang persidangan perwakilan Umno bahagian Kubang Esok esok seolah-olah akan berlaku pilihanraya kecil kerana ia menjadi tumpuan para pemerhati politik dari seluruh tanahair.

Malah tempiasnya juga turut terkena Setiauasaha Agung Umno, Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang terpaksa membuat p enjelasan bahawa beliau ke Kubang Pasu semata-mata untuk melihat kebun dan kolam ikan dan itiknya, dan bukannya berkempen terhadap Dr Mahathir.