Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee hantar surat tuntutan pada Asyraf Wajdi
Diterbitkan:  Mar 2, 2021 12:47 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik, memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu 'elemen komunis' dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Maszlee berkata, melalui LOD itu dia meminta Asyraf Wajdi memadam hantaran di Facebook yang mendakwa buku teks berkenaan mengagungkan komunis. Hantaran tersebut dimuat naik Asyraf Wajdi pada 24 Feb lalu.

Selain itu, Maszlee juga turut Asyraf Wajdi menerbitkan kenyataan maaf secara bertulis yang dipersetujui bersama dimuat naik di Facebook dan akhbar tempatan.

"Ini semua ialah proses tindakan undang-undang yang telah saya mulakan untuk memastikan budaya fitnah jahat berbaur perkauman begini tidak berulang lagi.

“Sebagai pengajaran bersama, saya percaya rakyat Malaysia amat muak dan benci dengan budaya fitnah jahat berbaur perkauman yang sengaja ditimbulkan dan boleh menggugat hubungan sesama kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui tuntutan berkenaan, bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri itu diminta membayar sejumlah wang - yang terlebih dahulu perlu dipersetujui bersama - sebagai pampasan kerana hantaran tersebut jelas memfitnah.

“Sekiranya tuntutan-tuntutan ini tidak dilayan dalam tempoh ditetapkan, tindakan undang-undang selanjutkan akan terus diambil oleh peguam saya," tegasnya.

Pada 26 Feb lalu, Maszlee menyatakan kesediaannya untuk menyaman ketua Pemuda Umno itu kerana dia mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengagung-agungkan pihak komunis melalui petikan dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4.

Maszlee yang juga ahli parlimen Simpang Renggam menuntut Asyraf Wajdi mengemukakan permintaan maaf secara terbuka setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa perubahan dalam buku teks berlaku pada April 2018.

Ketika itu Malaysia masih berada di bawah pemerintahan Umno-BN.

"Saya telah mendapat nasihat daripada peguam saya dan mengarahkan peguam saya untuk menghantar surat tuntutan kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi di atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan," kata Maszlee pada satu hantaran di media sosial.

Bagaimanapun, Asyraf Wajdi enggan memohon maaf kepada Maszlee.

Dalam pada itu, Maszlee berkata hanya pengecut sahaja yang sering menggunakan fitnah dan propaganda murahan untuk meraih sokongan politik.

“Sudah sampai masanya kita berpolitik secara matang dan berasaskan fakta, juga keberanian untuk tampil bersemuka dan berbincang agar rakyat di bawah boleh menilai dengan saksama.

“Bak kata pepatah - usahlah baling batu sembunyi tangan, beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh,” katanya.

Lihat Komen
ADS