Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa rangkaian makanan ringan McDonald's jenama terkenal di kalangan kanak-kanak mempunyai hak eksklusif kepada huruf awalan 'Mc'.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membuat keputusan itu semalam dalam tindakan undang-undang yang dikemukakan oleh McDonald's terhadap sebuah restoran makanan India berhubung penggunaan Mc dan warna serupa sebagai pengenalan restoran itu.

Menurut laporan Bernama, Siti Mariah turut memerintahkan McCurry Restaurant (KL) Sdn Bhd membayar gantirugi kepada McDonald's Corporation, pemilik rangkaian restoran McDonald's. Jumlahnya akan dinilai oleh timbalan pendaftar.

Kesan daripada keputusan yang disampaikan di dalam kamar itu ialah McCurry Restaurant perlu menukar namanya dengan tidak menggunakan huruf awalan "Mc".

Siti Mariah memutuskan dengan menggunakan perkataan "McCurry" dan mempamerkan papan tanda pengenalan dengan menggunakan warna yang sama dengan McDonald's, McCurry Restaurant telah bertindak menimbulkan kekeliruan dan penipuan.

"Tindakan defendan jelas merupakan cubaan untuk mendapatkan keistimewaan secara tidak adil yang telah menjejaskan reputasi plaintif yang selama ini dikenali dengan jenama 'Mc'," katanya.

Bagaimanapun, McCurry Restaurant menyatakan ia akan merayu terhadap keputusan itu.

Gelaran lain

Dalam pernyataan tuntutannya, McDonald's menyatakan ia mencipta huruf awalan "Mc" sebagai jenama untuk digunakan bagi semua barangan dan perkhidmatan yang dijual di restoran dan nama komersialnya itu turut dikenali di lebih 120 negara di dunia.

McDonald's menyatakan perkataan "Mc" juga digunakan dengan perkataan, nama dan gelaran lain untuk membentuk nama perdagangan lain syarikat itu seperti McChicken, McMuffin, Hidangan McValue, McTeddy Bears.

Syarikat itu, yang telah mengendalikan restorannya di Malaysia sejak 1982 dan kini terdapat lebih 25,000 restoran di 177 negara dengan 137 cawangan di Malaysia, berkata ia telah membina reputasi baik dan jualan memberangsangkan bagi makanan, minuman dan perkhidmatan menggunakan jenama "Mc".

Ia menyatakan publisiti dan aktiviti promosi besar-besaran dan meluas yang dijalankan oleh syarikat itu di seluruh dunia dan di Malaysia berkait rapat dengan penggunaan huruf awalan "Mc".

McDonald's mendakwa penggunaan huruf awalan "Mc" bersama-sama dengan perkataan "Curry", McCurry Restaurant, yang sebelum ini dikenali sebagai Restoran Penang Curry House (KL) Sdn Bhd, telah salah representasi dirinya sebagai mempunyai kaitan dengan perniagaan McDonald's.

McDonald's berkata ini akan mengelirukan orang ramai untuk mempercayai bahawa McCurry ada kaitan dengan perniagaan McDonald's, mengakibatkan kerugian dan menjejaskan perniagaan, keistimewaan, reputasi dan jenama McDonald's.

McCurry Restaurant, dalam pernyataan pembelaannya mendakwa jenama "McCurry" dicipta berdasarkan huruf singkatan "Malaysian Chicken Curry", yang jelas merupakan konsep Malaysia.

Penyataan pembelaan

Restoran itu menyatakan makanan dan minuman yang dihidangkan ialah makanan Malaysia atau India atau gerai di tepi jalan dan berbeza dengan makanan yang dijual di restoran McDonald's yang berupa makanan Barat seperti burger dan kentang goreng.

McCurry Restaurant berkata menu di restoran itu ialah makanan Malaysia dan India yang terdiri daripada teh tarik, roti canai, nasi lemak, nasi briyani, kari kepala ikan, ayam tandori, roti naan, tosai, chappati serta kari ayam dan kambing.

I a menyatakan McDonald tidak boleh memonopoli atau memiliki hak eksklusif kepada huruf awalan "Mc", kerana huruf awalan itu digunakan dengan meluas di dunia sebagai nama keluarga, terutamanya oleh orang yang berasal dari Scotland.

McCurry Restaurant mendakwa nama perdagangannya terdiri daripada perkataan "McCurry" dan memaparkan ayam tersenyum dalam bulatan yang mencerminkan rasa enak dengan ibu jari menghala ke atas dan di bawah bulatan, dalam kotak cantik, dengan tertera perkataan "Malaysian Chicken Curry".

Katanya pelanggan restoran itu yang terletak di Jalan Ipoh terdiri daripada warga berusia dan orang yang matang, kebanyakannya kaum India dan Melayu, tidak seperti McDonald's yang mensasarkan kanak-kanak dan remaja.

McCurry Restaurant menafikan yang ia salah representasi dirinya dan menyebabkan kekeliruan, kerugian dan menjejaskan perniagaan McDonald's.