Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) memohon kelulusan kerajaan untuk mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 melalui salurannya sendiri dan dari sumber lain,selain apa yang telah diperoleh oleh kerajaan dalam usaha untuk membantu mempercepatkan proses vaksinasi.

Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata ini akan membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok dengan lebih cepat.

Kuljit berkata, mengikut program vaksinasi kerajayaan, sebahagian besar penduduk akan hanya menerima vaksin mereka di bawah fasa 3 yang bermula pada Mei dan ini akan berlanjutan hingga 2022, yang menurutnya adalah terlalu lama.

"Kami senang hati untuk mendapatkan vaksin dari sumber lain jika mendapat kelulusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Hospital swasta berpendapat bahawa bantuan harus diberikan kepada kerajaan kerana program tiga fasa sekarang ini, yang diharapkan mampu selesai menjelang pada Februari 2022, sangat lama dan tidak dapat diterima.

"Hospital swasta dapat dikerahkan dengan cepat untuk melengkapkan usaha kerajaan dalam memastikan majoriti penduduk disuntik dengan vaksin dalam waktu sesingkat mungkin untuk membantu mencapai imuniti kelompok," katanya dalam satu kenyataan.

Kuljit mengulas kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, semalam dilaporkan berkata sebarang perolehan vaksin oleh entiti swasta perlu mendapatkan kelulusan NPRA.

Mengulas lanjut Dr Kuljit berkata, hospital swasta boleh digerakkan untuk membantu usaha kerajaan dalam memberikan suntikan pelalian kepada masyarakat secepat mungkin.

"Ini termasuk menerusi penggunaan saluran yang diluluskan kerajaan dan sistem pengesanan bagi menubuhkan pangkalan data mengenai peruntukan pelalian.

"Setiap individu yang menerima suntikan vaksin di hospital swasta bermaksud ia membantu meringankan bebanan tugas kerajaan dalam memberikan pelalian.

"Mekanisme yang mampu digunakan ialah hospital swasta akan mengenakan surcaj kepada setiap suntikan dan ia disalurkan kepada dana digunakan kerajaan bagi menawarkan vaksin secara percuma untuk masyarakat," katanya.

Berikutan kekangan waktu dan isu logistik, Dr Kuljit berkata hospital swasta berupaya menjadi 'pelengkap' usaha kerajaan untuk mengendalikan suntikan imunisasi dalam kalangan 80 peratus penduduk di Malaysia.

Menerusi kerjasama strategik itu, katanya, hospital swasta mampu menawarkan suntikan vaksin di tempat kerja, dengan keseluruhan program dibiayai majikan masing-masing.

"Diharapkan rayuan daripada hospital swasta tidak disisihkan kerana ia bukan bertujuan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya demi membantu segenap usaha kerajaan dalam menyediakan suntikan pelalian.

"Ketika ini, wujud permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat supaya hospital swasta mampu menawarkan suntikan vaksin.

"Malah, pendekatan sebegini dapat menangani isu langkau giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin, selain menjamin hak mana-mana individu untuk segera mendapatkan pelalian Covid-19," katanya.

Dr Kuljit turut berpendirian, bahawa prestasi untuk mencapai imuniti kelompok berupaya dilipat gandakan sekiranya orang ramai diberi kebebasan untuk memilih jenis vaksin.

"Kita faham jika ini diberikan dalam program imunisasi kebangsaan, ia mampu mencetuskan isu logistik, tetapi menerusi bantuan daripada hospital swasta, 'kelebihan' ini mampu ditawarkan.

"Selain itu, seiring usaha menghidupkan semula ekonomi dan menghapuskan sekatan perjalanan, pasport imuniti berkemungkinan diperkenalkan di seluruh dunia.

"Tetapi, mungkin ada sesetengah negara yang hanya mengiktiraf pengambilan vaksin tertentu, justeru isu sebegini dijangka timbul pada masa akan datang, termasuk membabitan jemaah haji dan umrah.

"Kami juga bimbang dengan komuniti diplomatik dan ekspatriat yang mempunyai keperluan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain, tetapi mereka hanya layak mendapat suntikan vaksin menjelang fasa ketiga," katanya.