mk-logo
Berita
PKR minta maaf pada pengundi Tebrau lepas MP paling tadah
Diterbitkan:  Mar 2, 2021 1:41 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

PKR Johor memohon maaf daripada pengundi Tebrau selepas Ahli Parlimennya Steven Choong menyokong Perikatan Nasional.

Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya sedang berbincang supaya khidmat kepada pengundi di Tebrau diteruskan.

Menurutnya, dalam keadaan sidang parlimen digantung, wabak Covid-19 dan ekonomi merudum, PN mengambil kesempatan untuk mengekalkan kuasa dan terus berpolitik.

"Pengkhianatan terhadap mandat rakyat tidak wajar dilakukan atas apa jua alasan.

"Memperoleh sokongan ahli-ahli parlimen melalui ancaman, tawaran jawatan dan habuan sementara memegang tampuk kuasa, lebih-lebih lagi wajar dikecam.

"Malah ia boleh dianggap satu bentuk rasuah. Rasuah politik yang wajib ditolak oleh rakyat," dakwanya.

Sabtu lalu, Choong bersama Ahli Parlimen Julau Larry Sng berpaling tadah daripada PKR dan menukar sokongan mereka kepada Perikatan Nasional.

Langkah itu dapat memberi PN jumlah yang diperlukan untuk mempertahankan majoriti mudah di Dewan Rakyat - kecuali jika lebih banyak pemimpin Umno pula berpaling tadah daripada PN.

Berita mengenai penukaran sokongan Choong dan Sng muncul sehari selepas tiga Adun Amanah Johor dilaporkan meninggalkan parti itu dan bergabung dengan PKR.

Langkah itu dikritik Amanah dan DAP, sekutu PKR dalam Pakatan Harapan.

Sementara itu, Syed Ibrahim hari ini juga berkata PKR akan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Lihat Komen
ADS