Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggunakan kaedah penyuraian secara berperingkat bagi sekolah yang mempunyai jumlah murid yang ramai.

Ini kata Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin adalah untuk mengelak kesesakan di hadapan sekolah ketika ibu bapa mengambil anak masing-masing pulang.

Katanya, pihak kementerian sudah mencadangkan beberapa model penyuraian yang boleh dipertimbangkan pihak sekolah berdasarkan keadaan, kapasiti dan lokasi sekolah.

"Ya benar, guru-guru boleh mengawal penyuraian dalam kawasan sekolah.

“Bagaimanapun, untuk memastikan penyuraian di luar pagar sekolah dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur, kerjasama daripada ibu bapa amatlah kami perlukan,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Jelas Radzi pihaknya menyedari bahawa perkara berkaitan dengan penyuraian selepas tamat sesi persekolahan amat memerlukan perhatian khusus.

Semalam, seramai 1,107,095 murid Prasekolah KPM Tahun 1 dan 2 kembali ke sekolah bagi sesi pembelajaran tahun 2021 secara bersemuka.

Ketua Pengarah Pelajaran, Habibah Abdul Rahim berkata beliau pasti pembukaan semula sekolah secara bersemuka amat dinanti-nantikan oleh semua murid, guru serta ibu bapa.

“Saya kira, ia pasti akan menjadi pengalaman yang mengujakan khususnya bagi murid-murid Prasekolah dan Tahun 1 yang akan ke sekolah buat pertama kalinya.

“Kepada semua ibu bapa, usahlah gusar untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Saya yakin pihak sekolah telah bersedia sebaik mungkin memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dipatuhi bagi menjamin keselamatan dan kesihatan semua,” katanya dalam satu kenyataan.

Tinjauan di beberapa sebuah sekolah di ibu kota semalam pada hari pertama persekolahan mendapati suasana di hadapan sekolah sesak sewaktu tamat sesi persekolahan.

Dalam pada itu Radzi berkata, KPM sangat mengharapkan kerjasama daripada ibu bapa bagi memastikan keadaan di luar kawasan sekolah teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP)ditetapkan.

“Bantulah kami untuk pastikan keadaan di luar kawasan sekolah adalah teratur dan SOP dipatuhi sepenuhnya. Sekurang-kurangnya ibu bapa perlu sama-sama pastikan bahawa penjarakan fizikal di luar pagar sekolah sentiasa dipatuhi.

“Pihak sekolah tentunya telah berhubung dengan PIBG dan ibu bapa bagi mencari kaedah yang terbaik,” katanya lagi.