Kolej swasta jadi pintu masuk pekerja asing disiasat
Jabatan Imigresen sedang menyiasat sebuah kolej swasta milik anak syarikat kerajaan negeri di utara Semenanjung kerana disyaki menjadi platform penyalahgunaan visa pelajar bagi membawa masuk pekerja asing.
Jabatan Imigresen sedang menyiasat sebuah kolej swasta milik anak syarikat kerajaan negeri di utara Semenanjung kerana disyaki menjadi platform penyalahgunaan visa pelajar bagi membawa masuk pekerja asing.
Siasatan menunjukkan setiap pelajar warga asing itu dikenakan bayaran kira-kira RM15,000 untuk memasuki negara ini dan tambahan RM5,000 bagi mendapatkan visa pelajar.
Imigresen mengenakan bayaran visa RM60 bagi pelajar dan RM1,800 bagi visa pekerja sektor perkhidmatan dan perbezaan kadar ini dipercayai mendorong mereka menyalahgunakan visa pelajar bagi membawa masuk pekerja asing, katanya Pengarah Penguatkuasa Imigresen, Datuk Ishak Mohamed hari ini.
Katanya, itu mempunyai 207 pelajar terdiri daripada tiga peratus rakyat tempatan (enam orang), dan baki 97 peratus warga asing (201 orang), dengan menawarkan kesemua pelajar itu kursus Pengurusan Teknologi Maklumat.
Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Putrajaya hari ini, beliau berkata, sebahagian besar pelajar warga asing kolej itu terdiri daripada 151 Pakistan dan 41 Bangladesh, katanya.
Menurutnya lagi siasatan terhadap kolej itu semalam menunjukkan tiada satu kelaspun dijalankan di antara jam 9.30 pagi dan 10.30 pagi walaupun sepatutnya terdapat empat kelas ketika itu dan mereka disyaki tiada di kelas kerana bekerja.
Menurut laporan Bernama, siasatan di asrama kolej itu pula menunjukkan jumlah pelajar yang tinggal tidak sama dengan jumlah yang didaftarkan.
Jual permaidani
"Terdapat banyak permaidani dan bingkai ayat al-Quran yang disimpan di empat buah rumah yang didaftarkan sebagai tempat tinggal pelajar," katanya. Beliau mengesyaki pelajar itu bekerja dengan menjual barang berkenaan dari rumah ke rumah.
Sehubungan itu, Imigresen menahan seorang pegawai eksekutif kolej itu, seorang wanita berumur 47 tahun, kerana menggaji seorang pelajar Pakistan dari kolej itu di kedainya yang menjual permaidani, kira-kira 30km dari kolej berkenaan.
Pegawai eksekutif itu dipercayai menjadi dalang dalam membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan visa pelajar dengan dibantu suaminya, seorang warga Pakistan.
Pelajar itu juga ditahan kerana menyalahgunakan visa pelajarnya manakala seorang lagi pekerja asing di kedai itu turut ditahan kerana bekerja dengan menggunakan pas lawatan sosial.
"Pekerja asing yang menggunakan pas lawatan sosial itu dipercayai sedang menunggu proses untuk mendapatkan visa pelajar dari kolej itu," katanya.
Ishak berkata kolej itu sedang disiasat bagi menjelaskan pelbagai soalan yang timbul berhubung dengan isu visa pelajar mereka.
Surat layang
"Jika siasatan menunjukkan kolej itu menyalah gunakan visa pelajar, pihak Imigresen akan menamatkan serta-merta visa mereka dan tidak akan mengeluarkan visa bagi pengambilan pelajar baru serta mengesyorkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyenarai hitam kolej itu dan seterusnya menutup kolej itu," katanya.
Siasatan terhadap kolej itu dijalankan selepas jabatan berkenaan menerima sepucuk surat layang mengenai masalah berkenaan di kolej itu daripada seorang bekas pelajarnya.
Beliau juga berkata Imigresen mengesan seramai 1,271 pelajar kolej swasta dari Semenanjung Malaysia, kesemuanya warga asing, dilaporkan hilang dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, dan mereka dipercayai memasuki pasaran kerja.
Bilangan kes terbanyak dilaporkan di Kuala Lumpur dengan 694 kes diikuti Negeri Sembilan (448 kes), Selangor (78 kes), Melaka (26 kes), Perak (22 kes), Pahang (dua kes) dan Johor (satu kes).
Pelajar warga Bangladesh paling banyak hilang iaitu seramai 1,057 orang diikuti Pakistan seramai 138 orang, katanya. Beliau berkata siasatan sedang dijalankan.

