Kit Siang: Jangan lepaskan tanggungjawab anda, Shahrir
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) patut menyiasat isu dan persoalan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan bukan melepaskan tugas itu kepada orang lain, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) patut menyiasat isu dan persoalan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan bukan melepaskan tugas itu kepada orang lain, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Isnin lalu, Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Samad menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat perkara-perkara yang ditimbulkan dalam laporan tersebut, walaupun Shahrir berkata jawatankuasa itu sendiri akan turut meneliti beberapa isu seperti penyelewengan wang tabung mangsa tsunami dan cukai yang tidak dipungut.
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu bagaimanapun menyifatkan gesaan Shahrir itu sebagai 'agak luar biasa dan memalukan'.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata, beliau mengalu-alukan BPR bertindak proaktif dan meneliti laporan Ketua Audit Negara itu, tetapi tegasnya Shahrir selaku pengerusi PAC, tidak harus melepaskan tanggungjawabnya menyiasat kes-kes rasuah dalam laporan tersebut, dan bukannya menyerahkan kepada BPR.
PAC juga bertanggungjawab meneliti dan memastikan wang rakyat dan peruntukan dibelanjakan dengan baik. Ia diberi kuasa memanggil saksi memberi keterangan apabila inkuiri dijalankan.
'Bolehkah Shahrir jelaskan?'
Ketua Pembangkang itu juga mempersoalkan mengapa sehingga ini PAC tidak merujuk satupun kes siasatannya terhadap laporan Ketua Audit Negara kepada BPR atas alasan ia kes prima facie untuk BPR menjalankan siasatan selanjut.
"Bolehkah Shahrir menjelaskan mengapa?" soal Lim.
"Jika PAC, dengan semua kuasa yang diberikan oleh Parlimen kepadanya [...] tidak boleh mendedahkan satupun kes rasuah selama ini, maka adakah realistik bagi Shahrir untuk menyatakan bahawa BPR boleh berjaya di mana PAC tidak dapat melakukannya?"
Beliau mencadangkan Shahrir mengemukakan laporan kepada Parlimen apakah kuasa tambahan yang diperlukan supaya PAC lebih berkesan dan releven dalam memenuhi mandat Parlimen untuk mendedahkan penyelewengan kewangan dan rasuah dalam kira-kira negara.
"Ini patut menjadi cabaran utama PAC, terutama di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berikrar untuk mentadbir dengan bersih, tidak rasuah, bertanggungjawb, telus dan cekap, dan tidak menyerah tanggungjawab kepada BPR.
"Jika tidak, apa gunanya ada PAC?" soal Lim. Bahan berita

