Anwar: BN punca masalah di Pulau Pinang
Dakwaan bahawa orang Melayu di Pulau Pinang dipinggirkan tidak boleh dipersalahkan kepada ketua menteri sahaja kerana ia berpunca daripada sistem politik Barisan Nasional itu sendiri, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dakwaan bahawa orang Melayu di Pulau Pinang dipinggirkan tidak boleh dipersalahkan kepada ketua menteri sahaja kerana ia berpunca daripada sistem politik Barisan Nasional itu sendiri, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh itu, kini sudah tiba masanya untuk menukar sistem politik dan propaganda BN itu, katanya kepada lebih 400 hadirin yang menghadiri ceramah umumnya mengenai masa depan Malaysia dan hubungan antara kaum, di Kuala Lumpur malam tadi.
"Siapa sahaja yang bagus boleh menjadi ketua menteri. Masalah di negeri itu bukan kerana ketua menteri tetapi kerana sistem yang diamalkan oleh BN," kata Anwar yang juga berasal dari Pulau Pinang.
Anwar menegaskan demikian ketika menjawab saoalan hadirin mengenai kontroversi yang dicetuskan oleh pemimpin Pemuda Umno yang mendakwa orang Melayu di negeri itu telah dipinggirkan.
Berikutan itu, Pemuda Umno menggesa supaya jawatan ketua menteri yang kini disandang oleh Tan Sri Dr Koh Tsu Koon digilirkan antara parti komponen BN. Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak gesaan tersebut.
Dr Koh adalah juga Timbalan Presiden Gerakan yang sebahagian besar ahlinya merupakan kaum Cina Malaysia dan menjadi parti komponen utama dalam kerajaan BN Pulau Pinang.
Mengulas lanjut mengenainya, Anwar berkata adalah tidak adil untuk menuding jari kepada Dr Koh bagi setiap masalah di negeri itu. Menurutnya, majoriti daripada 33 peratus penduduk Melayu di Pulau Pinang menikmati kehidupan yang agak baik dari segi gayahidup, kemudahan dan pengagihan sumber.
Beliau juga membandingkan dengan masalah kemiskinan yang berpanjangan di daerah Baling di Kedah.
"Menteri Besar Kedah adalah orang Melayu, tetapi masih wujud masyarakat Melayu yang miskin. Mengapa mereka (Pemuda Umno) tidak minta menteri besarnya ditukar juga?" soal Anwar yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Masalah pendidikan
Mengenai hubungan kaum, Anwar menggesa supaya semangat keadilan didukung dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik, bahasa dan agama.
Beliau turut menyentuh mengenai kesulitan yang dihadapi oleh pelajar kaum Cina Malaysia yang memperolehi keputusan yang cemerlang tetapi tidak dapat masuk universiti atau ditawarkan pengajian pilihan mereka.
"Pelajar Cina Malaysia yang mendapatkan 9A1 dalam SPM gagal menyambung pengajian di universiti pilihan mereka. Ini jelas tidak adil," katanya, sambil menambah bahawa ia mencerminkan kegagalan dasar pendidikan sekarang.
"Sistem ini perlu ditukar untuk memberi peluang kepada semua bangsa. Mereka patut diberi keutamaan menerima pendidikan yang termampu dan berkualiti, inilah yang panggil 'akses pendemokrasian' kepada pelajaran yang berkualiti," tegasnya.
Anwar juga mendakwa, 15 universiti tempatan kini dipimpin oleh mereka yang dikenali sebagai 'intelektual Melayu' yang melarang pelajar membaca buku yang boleh memprovokasi pemikiran kritikal.
Sementara itu, beliau mengecam tindakan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengganggu kumpulan pelajar yang lain. Katanya, insiden seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di sebuah universiti.
Ceramah awam itu merupakan siri akhir kurus alternatif hubungan kaum selepas buku panduan hubungan kaum UPM dikritik hebat kerana berbau perkauman. Buku tersebut telah ditarik balik.
Majlis tersebut dianjurka oleh kumpulan pemuda untuk perubahan. Berita asal

