Mesyuarat perwakilan Umno Kubang Pasu bermula pagi ini dengan Menteri Besar Kedah Datuk Mahadzir Khalid, secara terbuka, melahirkan harapannya agar pertelingkahan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diselesaikan secara baik.

"Selepas tahun 2004, Umno menjadi kuat, kita mahu Datuk Seri Abdullah dan Tun Dr Mahathir menyelesaikan isu pertelingkahan secara baik dan kita tidak mahu isu ini berpanjangan dan jangan biarkan ahli menjadi serba-salah," tegas beliau ketika merasmikan mesyuarat berkenaan pagi ini.

Bekas Perdana Menteri tiba di dewan persidangan kira-kira jam 9 pagi bersama Tun Dr Hasmah Mohd Ali. Mereka disambut oleh Ketua bahagian, Datuk Mohd Johari Baharum; bekas Menteri Besar, Tan Sri Osman Aroff dan ahli-ahli jawatankuasa bahagian.

Dr Mahathir dan Siti Hasmah duduk di barisan hadapan bersama Osman ketika majlis perasmian. Menteri Besar yang tiba-tiba kira-kira setengah jam kemudiannya menemui dan bersalam dengan Dr Mahathir.

Dr Mahathir dan anaknya Datuk Mukhriz adalah antara 15 calon yang akan bertanding hari ini sebagai perwakilan bahagian itu ke perhimpunan agung Umno pada November depan. Difahamkan, sebelum ini 17 calon mengesahkan bertanding tetapi dua calon telah menarik diri pada saat terakhir.

Sementara itu, Menteri Besar dalam ucapannya mengingatkan para perwakilan terhadap apa yang pernah berlaku kepada pemimpin besar parti sebelum ini, seperti bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Hussein serta Tun Abdul Rahman Yaacob.

Katanya, mereka merupakan antara pemimpin yang berjasa besar kepada parti tetapi kesudahannya mereka tidak dihormati.

"Kita tidak mahu apa yang berlaku pada hari ini sampai ke tahap itu...," katanya yang jelas merujuk kepada pertelingkahan antara Dr Mahathir dan Abdullah sekarang.

Kuasa politik Umno

Sehubungan itu, katanya, Umno dan ahli-ahlinya mesti memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Abdullah kerana menurutnya Umno menjadi kuat kerana ada kuasa politik.

"Krisis kepimpinan Umno telah berlaku pada 1987 yang menyebabkan Umno diharamkan dan pada 1998 Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, menyebabkan ahli Umno menjadi keliru dan pembangkang, terutama PAS mengambil manfaat daripadanya," tambahnya.

Pada 1987, Dr Mahathir telah dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden. Dr Mahathir menang tipis dan beberapa ahli Umno telah membawanya ke mahkamah yang kemudian mengisytiharkan Umno sebagai haram. Dr Mahathir kemudiannya menubuhkan Umno (baru)

Manakala pada 1998, Dr Mahathir telah memecat Anwar dari kerajaan dan parti kerana didakwa terbabit dalam salahlaku seks. Dalam pilihanraya 1999, Barisan Nasional kalah teruk dan kehilangan Terengganu kepada PAS.

Oleh itu, Menteri Besar Kedah itu berharap pertelingkahan sekarang antara Dr Mahathir dan Abdullah akan dapat diselesai secara baik dan tidak berpanjangan demi kebaikan masa depan parti.

Menteri Besar juga mengingatkan para perwakilan bahawa Umno Kedah tidak akan memberi tempat kepada pengkhianat dalam parti.

Sementara, Johari dalam ucapannya berkata ahli-ahli Umno tidak mempunyai masa untuk bersembang politik yang tidak menguntungkan parti.

Beliau yang mengambil alih kepimpinan bahagian itu daripada Dr Mahathir berkata: "Umno parti politik tetapi bukan untuk berpolitik semata-mata.

"Pengorbanan dan jasa Tun Dr Mahathir kepada bahagian ini amat besar sehingga menjadikannya sebagai salah satu bahagian yang terbaik di negara ini," katanya.

Johari petik ucapan Dr M

Dalam ucapannya itu juga Johari telah memetik ucapan Dr Mahathir dalam perhimpunan agung Umno pada 1982 dan 1987.

Antara lain, Dr Mahathir dipetik sebagai berkata dalam Umno tidak sesiapa pun yang lebih berhak daripada yang lain. Jawatan sama ada dalam parti atau kerajaan adalah amanah sementara untuk parti, bangsa dan negara.

Jika arahan dan suruhan kerja dibelakangkan dalam Umno, dan ahli bertindak sendirian, Umno sebagai parti tidak wujud dan bergerak maju.

Pada perhimpunan agung Umno 24 April 1987 pula Dr Mahathir dipetik sebagai berkata "tidak ada seorang daripada kita, termasuk saya yang penting. Yang penting adalah Umno untuk mengubah nasib orang Melayu".