Pak Lah: Apa saya katakan sebelum ini adalah benar
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak pernah memberi layanan istimewa kepada syarikat milik anaknya, sepertimana yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan tidak pernah memberi layanan istimewa kepada syarikat milik anaknya, sepertimana yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut laporan media, Abdullah yang kini terbabit dalam pertelagahan dengan Dr Mahathir, didakwa oleh bekas Perdana Menteri itu menggunakan kedudukannya untuk membantu perniagaan anaknya, Scomi Group.
''Dalam pengetahuan saya, tiada projek diberi kepada Scomi dan saya tidak terlibat secara peribadi dalam memberi keputusan berkaitan pemberian projek konsesi atau berkaitan dengannya,'' katanya dalam laporan akhbar The Star.
Anak lelaki Abdullah Kamaluddin yang mana syarikatnya didapati terbabit dalam skandal teknologi nuklear Libya, menerokai bidang industri minyak.
Abdullah berkata, beliau telah meneliti laporan lengkap aktiviti perniagaan Scomi dua hari lalu dan menyemak dengan transkrip wawancara khas dengan beliau yang disiarkan oleh TV3.
"Daripada penelitian laporan itu, apa yang saya katakan sebelum ini adalah benar," katanya.
Beliau muncul dalam wawancara 'Bersemuka Bersama Perdana Menteri' di TV3 pada 7 Ogos lalu bagi menjawab tuduhan mengenai rasuah, tuduhan mengamalkan pilih kasih serta tuduhan menggunakan hubungan kekeluargaan untuk membantu anaknya mendapat peluang perniagaan dari kerajaan.
Perniagaan luar negara
Pada 2 September lalu, Perdana Menteri memberitahu, beliau menerima sepucuk surat yang menyatakan beliau tidak memberitahu perkara sebenar mengenai projek yang diperoleh Scomi.
Abdullah berkata, 80 peratus perniagaan Scomi adalah di luar negara manakala perniagaan yang diperolehi daripada syarikat minyak negara Petronas, diperolehi melalui proses tender terbuka.
Akhbar itu melaporkan Abdullah sebagai berkata, Kamaluddin tidak pernah terbabit dalam konsesi kerajaan dan tidak pernah meminta bantuan kerajaan.
Abdullah berkata, anaknya terpaksa mencari projek di luar negara bagi mengelak daripada terbabit dalam urusan perniagaan yang boleh dikaitkan dengan Abdullah.
Minggu lalu, Abdullah berkata bersedia meminta maaf kepada rakyat sekiranya benar anak lelakinya menerima peluang perniagaan daripada kerajaan.
Scomi yang terlibat dalam aktiviti mud engineering menyediakan rumusan bendalir pelincir untuk penggerudian telaga minyak dan rumusan berbeza yang diperlukan bagi telaga minyak lain.
Ia merupakan antara 10 buah syarikat yang berkecimpung dalam perniagaan mud engineering di dunia dan daripada aspek perolehan, Scomi adalah penjana pendapatan keempat terbesar dalam industri tersebut.
Kini Scomi beroperasi di 35 buah negara dan 85 peratus daripada perolehannya datang dari luar negara.
- AFP

