Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan pertelagahan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi umpama kehadiran dua nakhoda dalam satu kapal.

Berucap di persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas, Perak hari ini, Nazri berkata kehadiran dua nakhoda dalam satu kapal akan hanya menghancurkan kapal.

Oleh itu, beliau yang juga ketua Umno bahagian berkenaan berharap Dr Mahathir akan membantu Perdana Menteri menjadi seorang nakhoda yang berkesan.

Menurut laporan Bernama, Nazri berkata Dr Mahathir merupakan nakhoda tunggal ketika beliau menerajui bahtera Umno dan telah memimpin negara tanpa menerima gangguan.

"Sebenarnya Tun sebagai bekas pemimpin Umno dan kerajaan bertanggungjawab dan berkewajipan memelihara Umno dan kerajaan supaya sentiasa stabil dan kuat seperti masa beliau memimpin dulu," katanya.

Pemimpin unggul

Di samping itu, katanya, karier politik Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mungkin sampai ke kemuncaknya jikalau beliau memilih untuk bergerak di luar Umno.

Katanya, Dr Mahathir 'kuat' sepanjang memegang tampuk pemerintahan dan muncul sebagai pemimpin unggul selama 22 tahun kerana telah memilih Umno sebagai tapak perjuangan.

Di samping itu, katanya kepimpinan Dr Mahathir selama 22 tahun telah mendapat sokongan padu pemimpin dan ahli Umno menyebabkan beliau dapat menghadapi segala masalah dalaman dan luaran.

Sokongan padu inilah, kata Nazri, yang meletakkan Dr Mahathir sebagai pemimpin yang unggul.

"Inilah rahsianya," tambah beliau.