Suhakam cadang tubuh Kementerian Hal Ehwal Agama
Pengerusi suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Abu Talib Othman mengesa kerajaan mewujudkan Kementerian bagi Hal Ehwal Agama.
Pengerusi suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Tan Sri Abu Talib Othman mengesa kerajaan mewujudkan Kementerian bagi Hal Ehwal Agama.
Katanya, kementerian itu boleh memberi tumpuan terhadap agama dan perkara lain berkaitan agama yang penganutnya sendiri gagal menyelesaikannya atau masalah yang tidak boleh ditangani alim ulama agama itu sendiri.
"Terdapat gesaan beberapa pihak supaya lebih banyak dialog secara terbuka mengenai isu-isu hak untuk memilih dan urusan lain yang berkaitan agama, diadakan dalam konteks perlembagaan dan hak asasi manusia.
"Usaha untuk membentuk suruhanjaya antara agama kurang berhasil. Satu jawapan kepada masalah itu ialah menerusi penubuhan sebuah kementerian," katanya.
Menurut laporan Bernama, Abu Talib menegaskan demikian dalam ucapannya pada Hari Hak Asasi Manusia 2006 di Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Bukan isu perundangan
Pengerusi Suhakam itu berkata pegangan agama merupakan perkara yang sangat pribadi kerana ia membabitkan akidah dan hak seseorang dan oleh itu tidak wajar dilihat sebagai isu perundangan.
Oleh itu, katanya, Suhakam menggesa mana-mana peruntukan undang-undang yang menghadkan hak seseorang itu untuk mendapatkan jalan keluar menerusi jalan penghakiman, dimansuhkan.
"Mungkin Parlimen juga wajar menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyemak semula semua undang-undang yang bermaksud untuk menyingkirkan bidangkuasa mahkamah bagi memberi akses itu supaya keadilan menjadi realiti," katanya.
Abu Talib juga berkata ia merupakan sesuatu yang membimbangkan kerana terdapat undang-undang yang mengandungi peruntukan seperti "Satu keputusan, perintah atau arahan Menteri... adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, di semak semula, dibatalkan atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah."
Abu Talib berkata ,jelas bahawa kuasa-kuasa Menteri mengikut peruntukan itu adalah bebas daripada sebarang sekatan undang-undang.

