Insiden segelintir ahli Umno membawa sepanduk mengkritik Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon Selasa lalu, telah menimbulkan ketegangan di kalangan anggota parti Gerakan.

Ekoran insiden tersebut, Dr Koh berkata, beliau terpaksa menangguhkan pertemuan dengan Pemuda Umno Negeri yang dijadualkan Selasa ini, bagi mententeramkan keadaan.

Sebelum itu, katanya, beliau memang bersedia mengadakan pertemuan dengan Pergerakan Pemuda Umno negeri dalam masa terdekat.

Menurut laporan Bernama, Selasa lalu, sekumpulan ahli Pemuda Umno Balik Pulau membawa sepanduk mengkritik Koh semasa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan bangunan Umno Bahagian Tanjong.

Dr Koh berkata, kejadian itu bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan Pemuda Gerakan, malah juga orang awam.

"Saya sudah bersedia untuk temui Pemuda Umno tetapi bila sudah tercetus perkara ini, saya terpaksa mententeramkan anggota Gerakan, bukan sahaja di Pulau Pinang malah di seluruh negara," katanya.

Kejadian itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai dan juga anggota parti Gerakan sehingga keadaan menjadi agak tegang.

Perlu tenang keadaan

Timbalan Presiden Gerakan itu bagaimanapun berkata pemimpin kedua-dua pergerakan Pemuda Umno dan Gerakan Negeri telah mengadakan pertemuan tidak rasmi malam Khamis lalu untuk mencari jalan meredakan keadaan.

"Saudara Huan Cheng Guan dan Salim Bari sudah mengadakan pertemuan tidak rasmi untuk meredakan keadaan dan tindakan itu amat dipuji kerana Pemuda kedua-dua parti perlu berjumpa dahulu supaya tiada lagi salah faham antara mereka," katanya.

Katanya jika perbincangan awal kedua-dua pihak itu tidak dilakukan, pertemuannya dengan Pemuda Umno tidak akan membawa sebarang hasil.

Justeru itu, beliau memahami dan menghargai hasrat Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya beliau segera menemui Pemuda Umno Negeri untuk berbincang mengenai isu Melayu di negeri itu.

"Saya bukan menolak untuk mengadakan perjumpaan itu tetapi perlu masa untuk menenangkan keadaan," katanya.

Atas alasan itulah katanya, sejak awal lagi beliau mahu semua masalah ini diselesaikan dalam semangat dan kerjasama Barisan Nasional (BN) supaya tidak timbul sebarang ketegangan dan salah faham.

Mengenai gesaan Hishammuddin supaya Pemuda Umno mempunyai wakil dalam semua jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah, Koh berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana setakat ini sudah pun ada wakil dari Umno, MCA dan Gerakan dalam projek-projek pembangunan di negeri itu.