Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pertambahan pengundi baru muda cabaran besar buat MCA'
Diterbitkan:  Mar 6, 2021 4:56 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Prospek pengundi muda baru seramai 7.8 juta orang pada PRU akan datang adalah cabaran besar yang perlu ditangani MCA, kata ketua pemudanya Nicole Wong.

Menyampaikan ucapan dasar dalam perhimpunan agung Pemuda MCA hari ini, Wong berkata golongan pengundi ini adalah daripada "Generasi Z (lahir pada 1995-2010) dengan cara berfikir yang berbeza dengan generasi sebelumnya.

"Salah satu sebabnya adalah kemajuan teknologi, Generasi Z terdedah dengan begitu banyak maklumat, maka mereka boleh dipengaruhi melalui hasutan emosi.

"Ini membimbangkan. Hanya bara diperlukan untuk menghidupkan api. Mereka juga tidak setia kepada mana-mana parti atau pemimpin seperti generasi sebelumnya.

"Sokongan mereka boleh berubah bila-bila masa," katanya lagi.

Wong yakin jika Pemuda MCA bersama-sama mempromosikan pelan pembangunan nasional, pengundi baru akan memahami perjuangan MCA dan akan memikirkan masa depan mereka.

"Kita perlu merangka pelan yang bagus - pekerjaan, kebajikan dan mengurangkan beban - apa yang golongan muda mahukan adalah suara mereka didengar.

"Jika kita berjaya, saya yakin MCA akan terus wujud untuk 72 tahun lagi," katanya.

Wong juga menggesa Pemuda MCA agak tidak berputus asa, tetapi belajar daripada kesilapan lalu untuk meraih sokongan.

"Kita mahu beritahu orang ramai, terutama masyarakat Cina, yang kita dengar apa yang mereka sampaikan ketika PRU 2018.

"Ini menjadikan kita meneruskan perjuangan kita ke arah keadilan sosial, hubungan antara kaum yang baik dan pembangunan negara.

"Kekalahan kita pada PRU lalu beri peluang kepada MCA untuk kembali kepada objektif asal parti, iaitu membangunkan Malaysia untuk semua," katanya lagi.

Pentadbiran PH sebelum ini menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, serta pendaftaran automatik, yang dijadual berkuat kuasa Julai ini.

Lihat Komen
ADS