Kekalahan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bermakna perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu telah menolak tindakan bekas Perdana Menteri bertanding sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno, kata Ketuanya, Datuk Mohd Johari Baharum.

Oleh itu, katanya, Dr Mahathir mesti menerima kekalahan tersebut sepertimana ahli Umno yang lain.

Johari juga mendakwa, pihaknya tidak mempunyai rancangan supaya Dr Mahathir kalah tetapi menegaskan "ia adalah keputusan perwakilan".

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu juga menyifatkan tindakan Dr Mahathir bertanding untuk menjadi perwakilan bahagian adalah "sangat tidak betul".

Lantaran itu, katanya, bekas Perdana Menteri itu "mesti menerima hakikat tersebut".

Dalam pemilihan hari ini, Dr Mahathir hanya memperolehi 227 untuk menduduki tempat kesembilan daripada 15 calon yang bertanding.

Bagaimanpun, anaknya, Datuk Mukhriz berjaya terpilih sebagai perwakilan dengan memperolehi 289 undi ditempat ke-lima.

Tujuh orang perwakilan dipilih dalam mesyuarat bahagian hari ini. Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan tujuh dipilih dalam mesyuarat bahagian manakala enam lagi ketua, timbalan dan naib ketua bahagian, ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Umno terpilih secara automatik.

Gagal pujuk Tun

Seramai 473 perwakilan mula mengundi jam 12.55 tengahari tadi dan keputusan diumumkan pada jam 5.05 petang ini.

Ditanya mengenai majlis penerangan dengan para perwakilan semalam, Johari berkata, ia diadakan selepas wakil Umno Kubang Pasu yang menemui Tun di Putrajaya pagi semalam, gagal memujuk beliau supaya menarik diri.

Sambil menafikan yang beliau pernah mengeluarka perkataan supaya jangan mengundi Dr Mahathir, Johari berkata kekalahan bekas Perdana Menteri bukan sesuatu yang mengejutkan.

Katanya, ini memandangkan Dr Mahathir hanya memperolehi 16 pencalonan dan "saya merasakan pencalonan sebanyak itu tidak boleh bawa kemenangan".

Malah, Johari mendakwa 16 pencalonan yang diperolehi oleh bekas Perdana Menteri itu adalah dari pihak tertentu "yang mempunyai kepentingan di Kubang Pasu".

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya mengenai siapakan 'pihak tertentu' yang dimaksudkannya itu.

Katanya, Umno Kubang Pasu juga berharap agar Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dapat berbincang dan menyelesaikan krisis antara mereka berdua.

Bagaimanapun, Johari berkata tindakan Dr Mahathir mengkritik Abdullah dan kerajaan adalah tidak betul 'dan Tun mesti menerimanya sebagai seorang ahli (parti)".