Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Cadangan kelas karate abai hakikat sebenar keganasan rumah tangga'

Cadangan Wanita MCA untuk mengadakan kursus karate sebagai antara langkah menangani keganasan rumah tangga mencetuskan kritikan pertubuhan wanita dan ahli politik.

Mereka membangkitkan perbezaan antara mempalajari seni mempertahankan diri dengan mempertahankan diri ketika berlakunya keganasan rumah tangga.

Cadangan itu turut membayangkan seolah-olah mangsa sendiri bertanggungjawab untuk melindungi diri daripada dikasari, kata mereka lagi.

Bagi Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Sumitra Visvanathan, tumpuan sepatutnya terhadap mengecam keganasan, bukannya memberitahu para wanita untuk menjaga diri sendiri.

“Ini adalah penekanan yang salah. Mengapa kita minta wanita pikul tanggungjawab untuk menjaga keselamatan diri?

“Kita sepatutnya menumpukan tenaga untuk membina masyarakat yang tidak bertoleransi dalam isu keganasan terhadap wanita, ”katanya kepada Malaysiakini.

“Marilah kita cabar tanggapan yang wanita sendiri bertanggungjawab untuk pertahankan diri daripada kekasaran. Ia adalah tanggungjawab kerajaan dan masyarakat untuk menjaga hak wanita untuk hidup bebas daripada keganasan," katanya.

Sumitra Visvanathan

Keganasan rumah tangga merangkumi penderaan fizikal, sesual dan psikologi, serta tindakan pengasingan daripada keluarga dan rakan.

Pegawai All Women Action Society (Awam) Mayna Patel, yang berpengalaman mengendalikan kes keganasan rumah tangga, berkata cadangan kursus karate itu mengabaikan realiti sebenar yang berlaku.

Katanya, mangsa sepatutnya digalakkan untuk mendapatkan bantuan profesional.

“Untuk beri cadangan seperti mangsa mempertahankan diri tidak mencerminkan keadaan yang sedang mereka lalui, terutama berkaitan keadaan mental dan emosi mereka.

“Mangsa perlukan bantuan profesional seperti kaunseling dan nasihat perundangan. Ini penting untuk menaikkan kembali keyakinan mereka agar berani mengambil tindakan,” katanya.

Mayna Patel

Terdahulu hari ini, Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie mengumumkan bahawa partinya akan menganjurkan kursus karate secara dalam talian bertajuk ‘Karate anti keganasan’ bermula 12 hingga 20 Mac untuk mengatasi masalah keganasan rumah tangga.

"Tidak melawan bukan lagi sifat yang baik, sebaliknya berani melawan mampu menakutkan pemangsa untuk berhenti mengganas malah bertaubat," katanya.

Selain kelas karate, parti itu turut mewujudkan unit untuk menawarkan sokongan psikologi dan perundangan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Hantar mesej salah

Sementara itu, Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR Fadhlina Siddiq menyifatkan cadangan Wanita MCA itu sebagai menghantar mesej yang salah.

Menurut Fadhlina, terdapat perbezaan ketara dalam mempromosikan seni mempertahankan diri sebagai kegiatan sukan dengan cara untuk menghalang diri daripada penderaan.

Fadhlina Siddiq

“Menggunakan keganasan secara fizikal atau membalas keganasan dengan keganasan fizikal bukanlah penyelesaian yang baik.

“Malah dalam mana-mana advokasi berkaitan keganasan rumah tangga, kita sama sekali tidak akan kompromi keganasan diselesaikan dengan satu lagi bentuk keganasan yang lain.

“Ini adalah mesej yang salah kepada masyarakat awam apatah lagi Wanita MCA bukan organisasi terlatih dalam mengendalikan kes-kes keganasan rumah tangga,” kata Fadlina dalam kenyataan di Facebook.


Adakah anda atau seseorang yang anda kenal menghadapi masalah keganasan rumah tangga?

Anda boleh hubungi WAO di talian 03-79563488 yang beroperasi 24 jam atau menghantar pesanan Whatsapp ke 018-9888058.

Anda boleh juga menghubungi talian Telenita 016-2374221 bagi khidmat kaunseling percuma dan informasi perundangan.

WAO dan Awam turut menyedikan bantuan secara dalam talian.

Lihat Komen
ADS